Kupi-kupi Santai eratkan silaturahim masyarakat, Tabung Haji

Arifin (tengah) menyaksikan penyerahan cek cura kepada Norliza (tiga dari kanan) mewakili mangsa kebakaran di Kg Tanjung Kapor.

KOTA KINABALU: Program Kupi-kupi Santai Bersama Pendeposit Tabung Haji mampu mengeratkan silaturahim antara masyarakat dengan Tabung Haji (TH).

Menteri Tugas-tugas Khas Dan Penyelarasan, Datuk Dr Arifin Mohd Arif berkata, program seumpama ini mampu menjadi wadah TH berinteraksi dan menghargai para pendeposit.

“Ini merupakan satu program yang amat baik dan saya bagi pihak kerajaan negeri mengalu-alukan program sebegini dalam usaha untuk menyemarakkan  semangat Umat Islam khususnya di Sabah.

“Saya menyarankan pelaksanaan program ini dilebarkan ke semua bahagian atau di daerah-daerah, dan Kementerian Tugas-tugas Khas Dan Penyelarasan yang menjaga hal ehwal agama Islam Sabah akan mendukung apa sahaja usaha TH dalam sama-sama memperkasa umat Islam di negeri ini.

“Selain daripada itu, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada TH kerana berjaya menunaikan zakat kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) berjumlah lebih RM2 juta setahun dan membolehkan kita mengedarkan pungutan zakat ini kepada golongan asnaf yang memerlukan.

“TH sentiasa memenuhi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk pembangunan umat Islam di negeri Sabah dari sudut kesihatan kemasyarakatan serta kegiatan kebajikan,” ujarnya kepada media selepas menghadiri program Kupi-kupi Santai Bersama Pendeposit Tabung Haji di sini.

Dalam majlis yang sama, Arifin turut menyaksikan penyerahan sumbangan kepada mangsa kebakaran Kg Tanjung Kapor, Kudat oleh Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) yang diwakili Setiausaha MUIS, Ramlan Awang Ali kepada Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Kapor, Norliza Gurahman.

Suasana semasa program berlangsung.

Sumbangan berjumlah RM26 ribu tersebut akan diagihkan kepada 52 Ketua Isi Rumah yang terjejas akibat kebakaran di Kg Tanjung Kapor Kudat pada 9 Oktober lepas.

Hadir sama, Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Yang DiPertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datuk Sapawi Ahmad, Pengarah Wilayah Tabung Haji Sabah Dan Sarawak, Datin Nurlaila Said dan Pengarah Tabung Haji Sabah, Yusdi Nasip.-PENERANGAN.

scroll to top