Kurang Bekalan Gula, Prosedur Kapal Singgah Ke Labuan Dipermudah

AMIRUL

Oleh HENRY BATING

LABUAN: Kekurangan bekalan gula yang dilaporkan berlaku di pulau bebas cukai ini disebabkan kapal yang membawa barangan keperluan itu ke sini berpatah balik ke Pasir Gudang.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) WP Labuan Amirul Hadi Idham berkata pihaknya telah mengambil langkah-langkah perlu untuk mengatasi kekurangan gula di sini.

“Langkah awal yang kita ambil ialah memperoleh bekalan gula dari Sabah,” katanya.

Difahamkan baru-baru ini kapal yang membawa bekalan gula tidak dapat singgah di Labuan disebabkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ada sekarang belum membenarkan kapal-kapal asing berlabuh.

Amirul menjelaskan pihaknya seawal bulan ini telah melaksanakan libat urus secara atas talian bersama pelbagai jabatan untuk mengatasi masalah bekalan gula jangka panjang.

Antara jabatan yang terlibat katanya ialah Jabatan Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara serta beberapa agensi kerajaan yang terlibat dalam rantaian bekalan makanan dan barangan keperluan di sini.

“Dalam sesi tersebut telah dijelaskan bahawa SOP berkaitan kemasukan barangan keperluan melalui jalan laut ke Labuan hendaklah tidak menjejaskan bekalan pasaran,” katanya.

Menurut Amirul, tindakan susulan juga sedang dijalankan untuk memperoleh bekalan dari pengilang-pengilang melalui pelbagai syarikat pemborong.

Jelasnya, pasaraya di sekitar WP Labuan telah dinasihatkan agar membuat kawalan kendiri memasarkan bekalan bagi memastikan bekalan barang kawalan itu sentiasa berada dalam pasaran.

Manakala para pengguna dinasihatkan agar tidak membuat pembelian panik dan berbelanja secara berhemah sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara Fasa 3 ini.

Amirul seterusnya meminta orang ramai yang mempunyai kemusykilan agar menyalurkan aduan melalui portal e-aduan.kpdnhep.gov.my, pusat panggilan 1800-886-800, emel ke e-aduan@kpdnhep.gov.my, aplikasi telefon pintar Ez ADU atau Enforcement Command Center (ECC) 03-8882-6245/6088 atau terus melapor ke talian 087-423-152.

scroll to top