Lagi sokongan YDP MAGEBS dilantik TYT

DATUK HAJI ABDULLAH SIBIL

KOTA KINABALU:  Kepimpinan Yang Dipertua Majlis Gabungan Etnik Sabah (MAGEBS), Datuk Haji Abdullah Haji Sibil dalam menyatukan semua etnik Sabah khususnya dalam majlis gabungan itu amat terserlah, kata Presiden Persatuan Orang Sungai Milian Kinabatangan Sabah, Haji Momin  Haji Awang Damit.

Katanya, Datuk Abdullah adalah seorang pemimpin yang tenang mengatasi persoalan-persoalan yang timbul, sangat toleran dan mampu memimpin MAGEBS dengan meyakinkan.

HAJI MOMIN HAJI AWANG DAMIT

“Dalam MAGEBS yang mempunyai 34 ahli-ahli gabungan , pemimpin-pemimpinnya terdiri dari pelbagai latar belakang. Ada Tan Sri, datuk-datuk, YB Menteri, guru, kaunselor dan sebagainya, tetapi beliau mampu menyatukan pemikiran, pengalaman dalam memimpin,” katanya.

Selain itu, Datuk Abdullah juga adalah antara orang yang mengusahakan kewujudan masjid di Taman Sri Gaya sejak mula lagi.

“Beliau dapat menyatukan penduduk  di situ yang sebilangan besarnya orang-orang ternama. Ia bukan sesuatu yang senang,” kata Haji Momin lagi.

HAJI YAKUB UTON

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Persatuan Sama Sabah (PSS) yang mahukan YDP MAGEBS Datuk Haji Abdullah Haji Sibil dilantik sebagai Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah menggantikan Tun Juhar Mahiruddin jika tempoh jawatannya tamat pada Disember tahun ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Murut Sabah, Datuk Rubin Balang berkata beliau menyokong cadangan melantik Datuk Haji Abdullah Haji Sibil sebagai TYT Yang Di Pertua Negeri.

“Saya tiada halangan menyokong  namun akur dengan Ketua Menteri yang membuat keputusan,” katanya.

DATUK RUBIN BALANG

Mengikut kebiasaannya, Ketua Menteri  akan  mengemukakan senarai calon kepada Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agung untuk dilantik sebagai TYT selepas tempoh penyandangnya berakhir.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Umum Bubuhan Aruna, Haji Yakub Uton dari masyarakat Tidung Sebatik, memberi sokongan penuh terhadap cadangan itu.

Beliau berkata, seseorang pemimpin yang dilantik sebagai Yang DiPertua Negeri haruslah mereka yang bukan dari kalangan ahli politik.

“Datuk Abdullah adalah seorang pemimpin NGO dan korporat yang disenangi dan seorang yang berwibawa. Beliau seorang tepat dan bersesuaian dan layak menjadi TYT,” katanya.

AWANG HAMID HJ ISMAIL

Sementara itu, Mantan Pengerusi Persatuan Belia Banggi Kudat, Awang Hamid Haji Ismail yang juga  Jawatankuasa Persatuan Belia Kudat serta Majlis Gabungan Persatuan Belia Pantai Barat Utara dengan ini memberi sokongan penuh kepada cadangan PSS agar YDP MAGEBS dilantik TYT.

“Tanpa bermotifkan apa-apa agenda yang prejudis, kami sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) berpendapat adalah wajar perlantikan TYT Sabah ini perlu melihat kepada suara masyarakat etnik negeri ini, ” katanya.

Seorang ahli korporat, Brett Chua setuju dengan pendapat bahawa seseorang yang dilantik TYT sepatutnya bukan dari kalangan ahli politik, bekas menteri atau bekas wakil rakyat.

Katanya, kita harus mempunyai pemimpin yang bukan dari kalangan politik, yang berfikir mengenai kesejahteraan dan kepentingan rakyat.

scroll to top