KOTA KINABALU: Sebanyak lapan kampung dan lima jalan terjejas akibat banjir kilat di Penampang malam ini disebabkan hujan lebat berterusan, menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah.
Sekretariat itu dalam kenyataan memaklumkan kampung yang terlibat ialah Kampung Dabak, Kampung Kambau, Kampung Tuavon, Kampung Dungkahang, Kampung Tanaki, Kampung Nampasan, Kampung Sugud dan Penampang Proper.

MANGSA .. Mangsa banjir ditempatkan di PPS Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir. FOTO Ihsan APM.
Menurut kenyataan itu jalan yang terjejas ialah Jalan Datuk Panglima Banting, Jalan Kolopis, Jalan Penampang-Papar Lama Nambazan, Jalan Inobong dan Jalan Pekan Donggongon.
“Hujan lebat berterusan yang bermula pada 1 tengah hari menyebabkan paras sungai di daerah itu antaranya Sungai Moyoq meningkat yang seterusnya menyebabkan banjir kilat berlaku.

DINAIKI AIR … Beberapa kenderaan tersadai di bulatan Sigar di Pekan Donggongon yang turut dilanda banjir. – (Gambar Netizen).
“Sebuah pusat pemindahan banjir telah dibuka pada 7 malam tadi di Rumah Kelab Kompleks Sukan Penampang, setakat ini tiada lagi mangsa dipindahkan, pemantauan akan dilakukan semasa ke semasa berikutan cuaca tidak menentu pada masa ini,” katanya.
Kenyataan itu turut memaklumkan jumlah mangsa banjir di Sabah kekal 68 orang iaitu 53 mangsa daripada 17 keluarga di Beaufort, dan 15 mangsa daripada empat keluarga di Sipitang.

TERJEJAS … Beberapa perkampungan di daerah Beaufort yang turut dilanda banjir. – (Gambar Netizen).
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Keningau DSP Shahrudin Mat Husain berkata dua lokasi kejadian jalan runtuh dikesan di daerah iaitu di KM14 Jalan Keningau/Apin-Apin dan KM18 Jalan Jalan Keningau/Apin-Apin kelmarin.
“Kedua-dua lokasi runtuhan tidak boleh dilalui oleh sebarang kenderaan daripada kedua-dua arah Keningau dan Apin-Apin, usaha pembaikan sedang dilaksanakan dan orang ramai dinasihatkan berwaspada memandangkan cuaca hujan masa ini,” katanya ketika dihubungi pemberita.

TUMBANG …Sebatang pokok tumbang berhampiran Pasar Besar Kota Kinabalu kelmarin. -(Gambar Netizen).
Beliau berkata orang ramai boleh menggunakan jalan alternatif untuk ke Pekan Keningau iaitu melalui Jalan Ranggom atau Kepayan menghala ke jalan Magatang.
Dalam pada itu, tular video kejadian sebuah kereta jenis Perodua Myvi gagal melintas jalan yang dilimpahi air sebelum dihanyutkan arus deras ke dalam sungai berhampiran di Jalan Kionsom Lama, Inanam di sini kira-kira 6 petang kelmarin.

HANYUT .. Tular video kejadian sebuah kereta Perodua Myvi gagal melintas jalan yang dilimpahi air sebelum dihanyutkan arus deras ke dalam sungai berhampiran di Jalan Kionsom Lama, Inanam di sini kira-kira 6 petang kelmarin. Nasib mangsa belum diketahui.- (Gambar Netizen).
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah mengesahkan kejadian tersebut dan kerja-kerja menyelamat oleh anggota bomba dari Balai Bomba Lintas masih dillakukan ketika berita ini ditulis
Difahamkan pasukan bomba menghadapi cabaran dalam operasi menyelamat itu berikutan arus deras di kawasan tersebut.-Bernama.