Lebih 20 spesies burung air direkodkan “Asian Waterbird Census 2023” Labuan

“Whimbrel” menarik perhatian sukarelawan di pantai Kampung Nagalang Labuan.

LABUAN: Lebih 20 spesies burung air berjaya direkodkan di Pulau Labuan dalam program “Asian Waterbird Census 2023” yang diselaraskan oleh Labuan Avian Group bersama Malaysian Nature Society (Cawangan Sabah).

Kesungguhan Ruslan Alias dan Erwin Usdek merakamkan imej burung laut di pantai Kampung Nagalang Labuan.

Pemantuan dibuat di pantai Kampung Nagalang dan pantai Kampung Sungai Labu yang melibatkan seramai tujuh orang sukarelawan terdiri daripada peminat “Bird Watching” di Wilayah Persekutuan Labuan.

Penyelaras program yang juga pengasas Labuan Avian Group Noralip Hassanuddin berkata, “Asian Waterbird Census 2023” merupakan suatu kegiatan tahunan yang bersifat sukarela, diadakan pada minggu ke-2 dan ke-3 dalam bulan Januari setiap tahun.

Katanya, di samping memantau dan mengumpul data populasi burung air di seluruh negara Asian, kegiatan ini juga bertujuan untuk menarik minat masyarakat setempat mengetahui tentang habitat burung air yang agak unik dan menarik.

“Comman Tren” pertama kali direkodkan di pantai Kampung Sungai Labu, Labuan.

“Kali terakhir Labuan Avian Group menyertai AWC adalah pada tahun 2018, terhenti akibat pandemik COVID-19.

‘Pada pertengahan tahun 2021, Labuan Avian Group kembali aktif dalam merekod dan merakamkan gambar spises burung di sekitar Pulau Labuan,” kata beliau ketika ditemui di pantai Kampung Sungai Labu, baru-baru ini.

Sementara itu, salah seorang sukarelawan yang menyertai program AWC 2023, Erwin Usdek merasa teruja apabila beliau berjaya merekodkan kehadiran spesies Comman Tren buat pertama kali di Pulau Labuan.

Noralip Hassanuddin (dua kanan) bersama sukarelawan (dari kanan) Matthew Albanus, Roslan Alias, Erwin Usdek, Damaisara Pimpilemba, Asraf Sarmi dan Ramlen Salleh.

“Antara spesies burung air yang direkodkan adalah Comman Tren, Comman Sandpiper, Malaysia Plover, Kentish Plover, Greater Sand Plover, Ruddy Turnstone, Sanderling dan beberapa spises lain,”katanya.

Seorang lagi sukarelawan yang ditemui, Damaisara Pimpilemba berkata, kehadiran burung hijrah dari negara-negara Asian ke Pulau Labuan pada bulan September hingga April setiap tahun membolehkan Wilayah Persekutuan Labuan berpotensi untuk menjadi salah satu destinasi Bird Tourism di samping Sabah, Sarawak dan Negara Brunei Darussalam.

Sukarelawan lain yang terlibat pada program itu adalah Ruslan Alias, Ramlen Salleh, Asraf Sarmi dan Matthew Albanus.

scroll to top