Lebih 300 hadir meriahkan Program Malam Perpaduan Keluarga Malaysia 2022

ALBUM kenangan bersama pemenang dan peserta Ratu Fesyen Kanak-kanak.

LEBIH  300 orang hadir memeriahkan Program Malam Perpaduan Keluarga Malaysia 2022 yang berlangsuna di gelanggang bola keranjang Pangsapuri Tanjung Aru pada Sabtu malam.

Program julung kali anjuran JKDB Rumah Pangsa dan JKDB Tanjung Aru dengan kerjasama Jawatankuasa Ketua-Ketua Blok Rumah Pangsa Tanjung Aru berkenaan telah dirasmikan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Aru, Mohd Reduan Datuk Haji Aklee.

MOHD REDUAN (tengah) menerima cenderahati daripada Asneh, disaksikan oleh Kapitan David Leong.

Walaupun diiringgi cuaca hujan renyai seketika, program yang bermula sekitar jam 8 malam itu diserikan dengan pelbagai pengisian dengan bertemakan sambutan hari kebangsaan Keluarga Malaysia.

Program bermula sejurus sahaja tetamu kenamaan, Mohd Reduan hadir memasuki khemah besar yang didirikan di gelanggang bola keranjang berkenaan sejak petang Jumaat yang disusuli dengan nyanyian lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku.

ALBUM kenangan Mohd Reduan dan Asneh bersama murid-murid Tadika Kemas Pangsapuri Tanjung Aru.

Seusai itu, acara diambil alih oleh persembahan tarian ‘Sambah Tamu’ oleh kumpulan penari-penari Bamboo Art yang didatangkan khas daripada daerah Inanam.

Ternyata, tarian yang jarang-jarang dilihat oleh masyarakat di sini, golongan muda dan anak-anak khasnya begitu memukau pandangan dan amat menghiburkan.

Pengerusi pelaksana program Asneh Libung, kemudiannya diminta mengambil alih pentas untuk menyampaikan sepatah dua kata-kata aluan beliau.

SEBAHAGIAN masyarakat yang hadir pada program berkenaan.

Sebagai individu yang bertanggungjawab dalam menganjurkan program itu Asneh mengucapkan ribuan terima kasih di atas sokongan dan kerjasama yang telah diberikan oleh barisan jawatankuasa penganjur, yang menurutnya telah bertungkus lumus menjayakan program berkenaan.

Beliau tidak lupa merakamkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang baik dari segi wang tunai, hamper, tenaga dan buah fikiran terutamanya kepada pihak Food Aid Sabah (FAS), SUDC sdn/bhd (Sabah Urban Development Corportion), SEDAFIAT SDN BHD dan juga pihak Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd.

Menurut Asneh, Program Malam Perpaduan Keluarga Malaysia 2022 yang julung kali diadakan ini pastinya tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya tanpa adanya sokongan dari semua yang terlibat baik secara langsung mahupun tidak langsung.

PERSEMBAHAN Tarian Sambah Tamu oleh penari-penari Bamboo Art Inanam.

Beliau membayangkan akan melaksanakan program seumpanya yang lebih meriah pada masa-masa akan datang jika ada sokongan kewangan.

Mengambil tempat selepas itu, Mohd Reduan sebelum merasmikan program berkenaan merakamkan ucapan tahniah di atas komitmen pengerusi penganjur dalam usaha gigih melksanakan Program Malam Perpaduan Keluarga Malaysia 2022 berkenaan.

ASNEH bersama barisan jawatankuasa pelaksana menyanyikan lagu Keluarga Malaysia sebagai penutupan tirai program.

Katanya, program ini amat bertepatan dengan sambutan bulan kebangsaan negara selain ianya dapat mengukuhkan perpaduan dan mengeratkan silaturahim kalangan masyarakat di kawasan Tanjung Aru ini.

Pada kesempatan itu Mohd Reduan turut menyentuh isu yang sangat besar yang masih membelenggu perasaan penghuni Pangsapuri Tanjung Aru berhubung kedudukan kawasan perumahan ini yang bakal dirobohkan dan penduduknya bakal dihalau.

SHAHELMEY menyampaikan buah tangan kepada peserta Ratu Fisyen Kanak-Kanak.

Katanya, semenjak isu ini dibangkitkan, beliau telah membuat satu komitmen bahawa isu ini akan beliau perjuangkan sehabis-habisnya..inshaAllah.

“Isu ini akan kita selesaikan secara yang terbaik. Dan selama beberapa bulan yang lepas siri pertemuan bersama pihak LPPB dan pihak IKRAM telahpun diadakan.

“Alhamdulillah, pada pertemuan tersebut telah disahkan oleh pihak IKRAM bahawa secara kesimpulannya, apa yang digembar gemburkan bahawa Rumah Pangsa mahu roboh, adalah tidak benar.

SALAH seorang penaja hamper menyampaikan hadiah cabutan tiket bertuah kepada penerima.

Katanya, perkara ini boleh disahkan oleh ketua-ketua blok yang juga turut hadir pada pertemuan dengan pihak LPPB dan pihak IKRAM pada hari itu.

“Namun jika kawasan perumahan ini sudah tidak selamat, dan penghuni di kawasan ini perlu juga dipindahkan, kita mahu pihak LPPB menyediakan satu kawasan penampatan yang lebih baik diberikan kepada warga Rumah Pangsa Tanjung Aru.

“InshaAllah, perkara ini akan saya angkat ke atas lagi dan akan terus saya perjuangkan,” jelasnya.

PERSEMBAHAN tarian Magunatip daripada penari-penari Bamboo Art.

Beliau turut meminta penghuni Rumah Pangsa memberikan kerjasama kepada semua pihak terutama kepada UPPM dan JKDB agar perkara ini dapat direalisasikan dengan sebaiknya.

Berakhir ucapan Mohd Reduan, program mula dimeriahkan dengan pelbagai acara yang telah disusun atur oleh pihak jawatankuasa bagi menyerikan program pada malam itu.

Celoteh dua pengacara, Hassan Samsuddin dan Amy Jumat berjaya melancarkan lagi suasana program.

JEFFREY (tiga dari kanan) antara tetamu yang hadir bersama Shahelmey, Asneh dan tetamu yang lain.

Pengisian acara juga tidak mengecewakan pengunjung yang hadir terutamanya apabila anak-anak Pangsapuri dan kawasan sekitar memperagakan bakat dalam Pertandingan Fisyen Kanak-Kanak yang mengikut tema Program Malam Perpaduan Keluarga Malaysia.

Tidak terkecuali persembahan murid-murid Tabika Kemas Pangsapuri Tanjung Aru juga turut memukau penonton terutama ibu bapa mereka dan juga tetamu khas yang hadir.

TIGA peserta menghiburkan para pengunjung dengan persembahan nyanyian.

Apa yang lebih dinanti-nantikan oleh seluruh hadirin, adalah acara cabutan tiket bertuah di mana tiket-tiket telah diedarkan kepada pengunjung yang hadir awal secara percuma.

Meskipun hadiahnya sekadar hamper yang pelbagai harga, dari kecil sehingga sebesar harga RM100, namun bagi mereka yang bernasib baik memang mampu tersenyum puas dan gembira menerimanya.

Program yang berakhir sekitar dalam jam 11 malam itu turut disajikan dengan persembahan nyanyian yang diselang selikan dengan persembahan tarian kebudayaan oleh kumpulan penari-penari dari Bamboo Art.

ANTARA tetamu jemputan khas yang hadir di majlis itu.

Program Malam Perpaduan Keluarga Malaysia 2022 pada malam itu ditutup tirainya dengan persembahan oleh seluruh jawatankuasa penganjur menyanyikan lagu Keluarga Malaysia sambil mengibarkan Jalur Gemilang dan bandera Sabah.

Turut hadir bersama Pengerusi JKDB Rumah Pangsa Tanjung Aru, Asneh Libung ialah, Adun Tanjung Keramat Datuk Ir Shahelmey Yahya, Ketua Bahagian UMNO Putatan Jeffrey Nor Mohammad dan para pemimpin setempat.

 

 

scroll to top