Dua Ditahan Bersama Syabu Bernilai Lebih RM100,000

DIRAMPAS ... Peter (tengah) menunjukkan syabu yang berjaya dirampas dalam sidang medianya, di sini.

Oleh HASSIM HAJI OTHMAN

TAWAU: Polis Tawau berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 2.82 kilogram dalam satu serbuan di tempat letak kereta di Jalan Chong Thien Vun, di sini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, dalam kejadian pada Khamis sekitar jam 3 petang itu, polis turut menahan seorang lelaki tempatan, 30, dan wanita warga asing,52, disyaki pengedar dadah di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Katanya, bertindak dari maklumat berkaitan dadah yang dibawa suspek, pasukan serbuan bertindak mengikuti suspek sehingga ke lokasi tersebut sebelum membuat pemeriksaan ke atas kenderaan yang dinaiki mereka.

“Hasil pemeriksaan, polis menemukan empat bungkusan plastik mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu di dalam kenderaan suspek,” katanya semasa sidang media, di sini hari ini.

DADAH … Syabu yang berjaya dirampas dalam tangkapan lelaki tempatan itu.

Menurut Peter, rampasan dadah seberat 2.82kg itu dianggarkan bernilai RM101,556 mengikut harga pasaran dadah.

Katanya, pihak polis tidak menolak kegiatan pengedaran dadah kedua-dua suspek terbabit mempunyai rangkaian lain yang masih bebas.

“Bagaimanapun, hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati kedua-dua suspek negatif daripada sebarang dadah dan tiada rekod kesalahan lampau,” katanya.

Peter berkata, pihak polis akan meneruskan siasatan untuk mendapatkan maklumat sekiranya terdapat individu lain yang terlibat.

“Polis turut merampas kenderaan pacuan empat roda yang digunakan suspek dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kedua-dua suspek kini direman bermula 15 hingga 22 Julai depan dan kemungkinan reman tersebut akan dilanjutkan lagi,” katanya.

scroll to top