Lelaki ditahan cuba seludup ayam sabung

TANGKAPAN: Suspek (tengah) ditahan bersama beberapa buah kotak berisi ayam sabung yang hendak diseludup.

LABUAN: Seorang lelaki ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Persekutuan Labuan disyaki cuba menyeludup ayam sabung dengan menggunakan sebuah kenderaan di pesisir pantai Kampung Nagalang, di sini petang kelmarin.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Persekutuan Labuan ASP Saidul Maruf Rosli berkata, semasa pasukan membuat pemantauan di kawasan jalan pesisir pantai Kg Nagalang WP Labuan telah terlihat sebuah kenderaan yang mencurigakan.

Pihaknya berjaya menahan seorang lelaki berumur 45 tahun dan merampas beberapa ekor ayam sabung serta sebuah kenderaan dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM85,000.

“Semasa pemeriksaan terhadap suspek dan kenderaan terbabit mendapati beberpa buah kotak yang berisi ayam jantan disyaki jenis sabung dipercayai ingin dibawa ke Menumbok, dari pesisir pantai Kg. Nagalang melalui jalan laut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Saidul berkata, pihaknya menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat dalam mengekang jenayah terutamanya jenayah rentas sempadan melalui aplikasi WhatsApp PPM Wilayah 4 Sabah di talian 013-9391197.

Ia bagi memastikan kesalahan-kesalahan yang melanggari undang-undang negara dapat dibendung seterusnya mengekalkan keamanan dan keselamatan.

scroll to top