Oleh MARIAYATI MURSIDI
LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu berjaya menahan seorang lelaki dalam satu operasi Op Benteng Covid di kawasan perairan laut pelabuhan, Kunak kelmarin.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 4 Lahad Datu Superintendan Gan Ping Sin berkata, kira-kira jam 12.30 tengah hari, pasukan menahan sebuah bot laju yang dinaiki seorang lelaki tidak dikenali dalam keadaan mencurigakan di laut pelabuhan Kunak.
“Hasil pemeriksaan menjumpai beberapa paket kecil lutsinar berisi ketulan kristal yang disyaki dadah jenis syabu seberat dan beberapa keping aluminium foil yang disembunyikan oleh lelaki terbabit didalam satu bekas plastik,” katanya, menambah nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM6,200.
Katanya, pemeriksaan lanjut juga mendapati lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan diri yang sah kepada pihak polis.
“Suspek berserta barang rampasan diserahkan kepada IPD Kunak untuk tindakan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Gan berkata, PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa menggalakkan semua masyarakat pesisir pantai untuk memberikan kerjasama menyalurkan maklumat sekiranya mendapati terdapat kegiatan jenayah di sekitar mereka.
“Kerjasama ini bagi memastikan keselamatan di perairan negara dapat dijaga dan sesiapa yang mempunyai maklumat boleh terus menyalurkan sebarang aduan melalui aplikasi WhatsApp di talian 013-9391197 atau berhubung terus ke Markas Operasi PPM Marin Lahad Datu di talian 011-63311721.