Lelaki Ditahan Seludup Rokok Tidak Bercukai

TANGKAPAN: Suspek yang ditahan disyaki menyeludup rokok tidak bercukai.

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau berjaya menahan seorang lelaki disyaki menyeludup rokok tidak bercukai dipercayai dari negara jiran di kawasan Kampung Jawa, di sini.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 4 Tawau DSP Ridzauddin Selamat berkata, pasukan membuat pemantauan terhadap seorang lelaki yang mencurigakan sedang memindahkan beberapa buah kotak dipercayai berisi rokok seludup ke dalam sebuah kenderaan.

“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan terbabit menjumpai beberapa buah kotak yang di dalamnya berisi rokok tidak bercukai dipercayai dibawa masuk dari Indonesia,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, suspek berumur 33 tahun ditahan dan kesemua rokok termasuk kenderaan semuanya bernilai RM130,684.64 dirampas untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

RAMPASAN: Rokok tidak bercukai yang dirampas dipercayai diseludup dari Indonesia.

Dalam pada itu, Ridzauddin berkata, pihaknya menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat dalam mengekang jenayah terutamanya jenayah rentas sempadan melalui aplikasi WhatsApp PPM Wilayah 4 Sabah di talian 013-9391197 atau berhubung terus ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983628.

scroll to top