Oleh MARIAYATI MURSIDI
BELURAN: Seorang pemandu maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbabas sendiri di jalan Paitan dekat sini awal pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Beluran Superintendan Kasim Muda berkata, mangsa dikenali sebagai Mohd Syed Shahrin, 50, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di seluruh badan dan kepala.
Beliau berkata, semasa kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa dalam perjalanan dari arah Paitan ke Beluran.
“Ketika melalui satu jalan selekoh, kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan dan terbalik beberapa kali.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada waktu subuh, cuaca baik namun jalan yang dilalui berselekoh,” katanya.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Beluran untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.