Lelaki maut selepas cuba bantu nelayan kejar bot hanyut

BANTU ... Mangsa yang tidak sedarkan diri cuba dibantu oleh pihak bomba.

KUDAT: Hasrat seorang lelaki membantu nelayan yang cuba mengejar bot hanyut berakhir tragedi apabila disahkan maut dipercayai akibat lemas dalam kejadian di Kampung Labuan Sama, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa, Jafridin Jawatan, 52, dilaporkan tidak sedarkan diri selepas diselamatkan pasukan bomba.

Bagaimanapun, ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kudat, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.50 pagi.

Katanya, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu.

“Kejadian berpunca apabila seorang lelaki yang sedang menjalankan aktiviti nelayan disedari berenang cuba untuk mengejar bot miliknya yang hanyut.

“Mangsa yang maut dalam insiden ini dan rakannya yang menyedari kejadian itu cuba membantu namun bot mereka terbalik akibat dipukul ombak,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, ketiga-tiga mangsa kemudiannya berenang ke tepi pantai sebelum dibantu pasukan bomba menggunakan tali.

Katanya, dua daripada mangsa berusia 53 dan 37 tahun itu dilaporkan selamat manakala mangsa pula dikatakan tidak sedarkan diri.

“Mangsa terus diberikan rawatan awal (CPR) oleh pasukan bomba di tempat kejadian sebelum dikejarkan ke Hospital Kudat menaiki Kenderaan Utiliti Bomba untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di hospital dan operasi ditamatkan pada jam 12.30 tengah hari,” katanya.

scroll to top