Oleh MARIAYATI MURSIDI
SANDAKAN: Seorang lelaki mengalami cedera parah akibat tersepit setelah van dipandunya terbabas dan melanggar sebatang pokok di jalan Taman Megah, Batu 7, dekat sini petang tadi.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Negeri Sabah, lelaki berumur 53 tahun itu berjaya dikeluarkan daripada kenderaan oleh pihak bomba dan kemudiannya dihantar pihak ambulan ke Hospital Duchess of Kent untuk rawatan lanjut.
Terdahulu, pusat gerakan menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 1.56 petang melalui talian balai yang melibatkan kemalangan jalan raya di lokasi berkenaan.

SELAMAT: Mangsa yang berjaya diselamatkan oleh pihak bomba diserahkan kepada pihak ambulan untuk dihantar ke hospital.
“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan digerakkan ke lokasi kejadian melalui jarak 9KM daripada balai,” menurut kenyataan itu.
Operasi diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Haris Mustapha dengan kekuatan seramai tujuh anggota penyelamat pelbagai pangkat bersama kekuatan logistik sebuah jentera kecemasan Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah jentera kecemasan EMRS.
Menurut Ketua Operasi, kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis van yang terbabas sendiri dan melanggar sebatang pokok.
Terdapat seorang mangsa lelaki tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan mengalami kecederaan parah.
Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak ambulan dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Pasukan bomba membuat pemeriksaan keselamatan di lokasi kejadian bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain.
Operasi ditamatkan pada jam 2.36 petang.