KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan lima kes kematian akibat COVID-19, sebanyak 230 kes positif dan satu kluster baharu.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, dua kes kematian direkodkan di Lahad Datu dan masing-masing satu kes di Kunak, Sandakan dan Kudat.
Beliau berkata, jumlah kes positif COVID-19 Sabah pada hari ini menurun dua kes berbanding 232 kes kelmarin.
“Daripada jumlah kes baharu itu, 96 kes adalah daripada saringan kontak rapat, 49 kes saringan kluster, 16 kes adalah saringan bergejala, 62 kes daripada saringan bersasar dan tujuh kes adalah daripada lain-lain kes,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.
Dalam pada itu, Sabah merekodkan satu kluster baharu iaitu Kluster Tanjung Pitas, di Pitas melibatkan penularan dalam komuniti nelayan di Mukim Mapan-Mapan, Daerah Pitas.
“Kluster ini mula direkodkan di Hospital Pitas melalui saringan bergejala terhadap kes indeks, suri rumah, 26, dari Kg Naruntung pada 27 Jun 2021 yang positif RTK-Ag.
“Berikutan kes itu, Pejabat Kesihatan Daerah Pitas kemudian menerima 20 lagi kes positif RTK-Ag hasil saringan kontak yang dijalankan. Jumlah itu termasuk tiga kes positif daripada Makmal Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) Pitas hasil saringan kontak serumah pada 28 Jun 2021 dan salah seorangnya adalah suami kepada kes indeks yang bekerja sebagai nelayan dan menjual ikan di Kg Taritipan Kota Marudu,” katanya.
Tambahnya, turut dikesan, satu kes hasil saringan komuniti di Kg Naruntung pada 29 Jun 2021 dan 16 kes PCR positif dalam kalangan penduduk Kg Naruntung pada 30 Jun 2021. Jumlah kumulatif bagi kluster ini ialah 43 kes setelah 22 kes baharu dicatatkan pada 1 Julai 2021.
“Berdasarkan siasatan, terdapat dua kemungkinan yang menjadi punca jangkitan iaitu pergerakan penduduk kampung ke Pulau Banggi, Kudat sepanjang bulan Mei serta Jun dan pergerakan peraih ikan di Kg Naruntung yang menjual ikan di kawasan Pitas dan Kota Marudu.
“Pengesanan kontak rapat bagi ahli keluarga kes positif masih aktif dijalankan hingga sekarang,” katanya.