Lima rumah musnah terbakar, 50 penduduk tinggal sehelai sepinggang

TUNGKUS LUMUS ... Pasukan bomba bertungkus lumus memadam kebakaran supaya tidak merebak ke kawasan lain.

SEMPORNA: Lima buah rumah di Jalan Pinggir Bakau, Kampung Perigi musnah dalam kebakaran awal pagi Sabtu.

Kebakaran yang berlaku sekitar jam 9 pagi itu memusnahkan sebuah rumah jenis kekal dan empat tidak kekal mengakibatkan hampir 50 penduduk sehelai sepinggang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Edoen Macheal berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.06 pagi.

Katanya, seramai 12 anggota dan pegawai bersama tiga buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi memadam.

“Sebaik tiba, kebakaran sudah memusnahkan beberapa rumah, manakala api cepat merebak disebabkan pembinaannya yang terlalu rapat,” katanya dalam kenyataan media, di sini.

Katanya, pasukan bomba segera menjalankan operasi memadam dengan menggunakan sumber air dari tangki jentera dan pili bomba berhampiran.

“Operasi turut dibantu lima anggota daripada BBP Atas Air, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Kepantasan dan kecekapan pasukan bomba berjaya menyelamatkan banyak rumah di kawasan kampung tersebut,” katanya.

Edoen berkata pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir di lokasi kejadian bagi memastikan api terpadam sepenuhnya sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.41 pagi.

“Setakat ini tiada sebarang laporan mengenai kecederaan mangsa atau kemalangan jiwa berlaku dalam kebakaran tersebut.

“Pasukan bomba akan menjalankan siasatan bagi mengetahui punca dan anggaran kerugian yang dialami oleh mangsa,” katanya.

scroll to top