Liputan Internet 4G Di Kawasan Berpenduduk Sabah Capai 83.9 Peratus

YAKUB KHAN

KOTA KINABALU: Liputan internet 4G di kawasan berpenduduk di Sabah, termasuk di kawasan pedalaman  telah mencapai tahap 83.9 peratus sehingga 31 Okt lepas, persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu kelmarin.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan berkata sehingga 31 Okt juga sebanyak 79 lokasi baharu telah dilaksanakan teknologi internet 4G daripada 588 lokasi yang telah dirancang menerusi program Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Beliau berkata menerusi program JENDELA juga internet di 2,337 lokasi sedia ada telah selesai dinaik taraf kepada teknologi internet 4G daripada 3,500 lokasi dirancang.

“Pelaksanaan JENDELA Fasa 1 yang sedang berjalan ketika ini sehingga penghujung 2022 memberi fokus kepada pemantapan infrastruktur digital dengan tumpuan kepada pembinaan tapak-tapak baharu, menaik taraf stesen-stesen pemancar sedia ada kepada teknologi 4G.

“Selain itu, ia menyediakan capaian gentian optik di premis-premis di seluruh negara sebagai persediaan untuk beralih kepada teknologi 5G,” katanya menjawab soalan asal Mohd Arshad Bistari (BN-Tempasuk) yang bertanya usaha kerajaan menyelesaikan masalah kemudahan internet di luar bandar.

Beliau berkata sebanyak 109,408 premis telah siap dinaik taraf kepada capaian internet gentian optik daripada 251,165 premis yang telah dirancang dan pencapaian ini dijangka akan meningkat menjelang penghujung 2021 dan seterusnya pada tahun depan.-Bernama.

scroll to top