Liputan meluas media banyak bantu kerajaan bawa pembangunan di Sabah

KENANGAN RAYA ...Para pengamal media merakam kenangan bersama Hajiji sempena majlis itu.

KOTA KINABALU: Liputan meluas media cetak dan elektronik di negeri ini banyak membantu kerajaan untuk membawa pembangunan menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Pengarah Media dan Komunikasi Jabatan Ketua Menteria (JKM) Datin Lucy Irene Yong berkata, peranan penting itu amat dihargai dalam mewar-warkan program dan aktiviti kerajaaan negeri terutama membabitkan Ketua Menteri.

Katanya, sebaik Datuk Seri Hajiji Noor memulakan tugas Ketua Menteri, beliau bersetuju untuk menjenamakan semula Pejabat Akhbar dan Penerbitan, JKM kepada Pejabat Media dan Komunikasi selaras dengan tuntutan keperluan semasa.

“Pejabat Media dan Komunikasi JKM menjadi ‘focal point’ dalam mempastikan segala laporan berkaitan kerajaan negeri dan Ketua Menteri dihebahkan bukan saja cepat tetapi juga tepat.

“Saya amat berterima kasih atas kerjasama dan persefahaman yang wujud antara pengamal media dan Pejabat Media dan Komunikasi selama ini dan saya berharap ini akan beterusan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Bersama Ketua Menteri dan Media, di sini, pada Isnin.

Turut hadir, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir dan Datuk Wetrom Bahanda, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Datuk Muguntan Vanar.

Sehubungan itu, Lucy berkata, beliau berharap peranan pasukannya itu akan memberi kerjasama terbaik kepada pengamal media di negeri ini.

“Saya ada pasukan yang terbaik. Kami telah lakukan dan akan lakukan yang terbaik untuk jalin kerjasama dengan media dan pemudah cara dalam komunikasi. Kami gembira dengan hubungan antara media berlangsung dengan baik.

“Sebagai pemudah cara kepada pengamal dan organisasi media dalam memberi liputan dan publisiti kepada Kerajaan Negeri terutama sekali Ketua Menteri, pejabat saya sentiasa dan akan terus memberi kerjasama sepenuhnya kepada rakan media untuk kebaikan kita bersama,” katanya.

scroll to top