Loji janakuasa hidroelektrik mini berupaya selesai masalah bekalan elektrik 

Hajiji ketika berucap pada majlis tersebut.

KOTA KINABALU:   Loji janakuasa hidroelektrik mini dijangka berupaya menyelesaikan masalah kekurangan bekalan elektrik secara holistik di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, usaha sama di antara Yayasan Sabah dengan G Capital Berhad yang dimaterai, bakal  menghasilkan tenaga boleh diperbaharui melalui loji janakuasa hidroelektrik mini di seluruh Sabah sekaligus menjana bekalan tenaga yang cukup dan stabil.

METERAI…Hajiji (tengah, belakang) dan Ghulam (kiri, belakang) menyaksikan pemeteraian perjanjian usaha sama oleh Pandikar (dua dari kiri, depan) bersama Zulkepli (dua dari kanan, depan).

“Saya yakin perjanjian usaha sama ini akan menyumbang kepada bekalan kuasa yang stabil kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan menarik pelaburan berkualiti.

“Usaha meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui adalah selaras dengan dasar Kerajaan Persekutuan dan Matlamat Pembangunan Mampan serta salah satu daripada tiga teras utama Hala Tuju Sabah Maju Jaya iaitu infrastruktur hijau dan rangkaian kemampanan.

“Penjanaan tenaga hijau seperti loji janakuasa hidroelektrik mini akan menarik lebih ramai pelabur, terutamanya mereka yang mengutamakan tenaga hijau dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

“Malah, ia akan menyokong pertumbuhan dan pembangunan ekonomi Sabah selain memberi manfaat kepada industri dan komuniti tempatan, membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan mewujudkan laluan untuk kerjaya profesional,” katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Usaha Sama dan Pemegang Saham di Menara Kinabalu.

Sementara itu, Pengerusi Innoprise Synergy Sdn Bhd, Tan Sri Pandikar Amin Mulia memaklumkan perkembangan awal projek ulung berkenaan melibatkan lima lokasi iaitu Sg Bayoyo, Sg Rayoh, Sg Mokodou, SgWariu dan Sg Panatara dengan anggaran jumlah kapasiti 65MW.

“Berdasarkan kajian awal, sungai-sungai tersebut adalah amat sesuai untuk pembangunan loji kuasa hidroelektrik kecil dan tidak memerlukan empangan yang besar.

“Pembangunan loji janakuasa hidroelektrik mini amat intensif dari segi modal namun, dalam jangka masa yang panjang, ia ada kelebihan berbanding kuasa sumber bahan api fosil.

“Projek kami akan membekalkan tenaga elektrik hijau yang stabil kepada pihak SESB dengan harga yang berpatutan,” jelas beliau.

Pada majlis tersebut, Hajiji menyaksikan pemeteraian perjanjian oleh Pandikar bagi pihak Yayasan Sabah dan wakil G Capital Berhad iaitu pengerusi syarikat milik penuh CM Creative Itinerary Sdn Bhd, Zulkepli Mishat.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong, Peguam Negara Datuk Nor Asiah Mohd Yusof, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar, Pengerusi Kluster Industri Minyak Sawit (POIC), Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee, Qhazanah Sabah Berhad Pengerusi, Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said, Presiden Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Huazong), Tan Sri Goh Tian Chuan dan Pengarah Eksekutif G Capital Berhad, Datuk Yap Yee Ping.-PENERANGAN.

scroll to top