LPPS Sabah Bayar Dividen RM2.74 Juta Kepada Kerajaan Sabah

SERAH.. Bung ketika menyerahkan replila cek kepada Hajiji semasa majlis ringkas tersebut.

KOTA KINABALU: Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) membayar dividen berjumlah RM2.74 juta kepada kerajaan negeri Sabah hari ini.

Pembayaran dividen itu merupakan keuntungan LPPS bagi tahun 2019, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Menteri.

Replika cek pembayaran itu diterima oleh Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor yang diserahkan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah serta Datuk Dr Joachim Gunsalam selaku Menteri Pembangunan Perindustrian negeri.

Sementara itu, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah dalam satu kenyataan berasingan berharap prestasi keuntungan perniagaan LPPS dapat dipertingkatkan pada masa akan datang meskipun berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19 yang memberi kesan kepada perkembangan ekonomi negara.

LPPS merupakan sebuah badan berkanun negeri di bawah Kementerian Kerja Raya Sabah yang ditubuhkan pada 1968.- Bernama.

scroll to top