Majlis Pengebumian Cetus Kluster Baharu Di Papar

MASIDI MANJUN

Oleh MARIAYATI MURSIDI

KOTA KINABALU: Dua lagi kluster baharu direkodkan di Sabah membabitkan kategori komuniti yang berpunca dari majlis pengebumian dan tempat kerja.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, dua kluster berkenaan ialah Kluster Kebun Lama, Papar dan Kluster Kuril, Kinabatangan.

“Kluster Kebun Lama, Papar merupakan kluster kategori komuniti yang dikesan di daerah Kota Kinabalu. Kes indeks adalah lelaki, 33, yang disahkan positif COVID-19 hasil saringan sign-on kapal pada 15 Julai 2021.

“Saringan kontak rapat mendapati satu kes positif di daerah Papar pada 17 Julai 2021. Berikutan penemuan kes positif itu, saringan kontak dijalankan terhadap 35 sampel dan mendapati 26 kontak positif menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 27 kes, lapan sampel negatif dan satu sampel masih menunggu keputusan ujian saringan,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.

Jelasnya, berdasarkan siasatan awal, punca pertambahan bilangan kes positif dalam kalangan keluarga disyaki berpunca daripada majlis pengebumian pada 6 Julai 2021 di Kg Kabang diikuti majlis tahlil selama lima hari yang dihadiri 60 orang di Kg Nagapas, Papar.

Sementara Kluster Kuril, Kinabatangan berlaku di tempat kerja iaitu sebuah ladang sawit di Mukim Sukau, Kinabatangan.

“Kes indeks merupakan pemandu ladang, lelaki, 26, yang disahkan positif COVID-19 dengan keputusan RTK-Ag (grading 100%) di Klinik Mabello Paris, Kinabatangan pada 15 Julai 2021.

“Saringan kontak kemudian mengesan 11 lagi kes positif dalam kalangan keluarga, pekerja dan tanggungan. Aktiviti siasatan, persampelan COVID-19 dan disinfeksi masih diteruskan di lapangan untuk menilai sebaran jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada pekerja ladang berdekatan yang lain,” katanya.

Setakat hari ini katanya, terdapat 12 kes positif COVID-19 direkodkan termasuk 10 kes baharu.

Dalam pada itu, Sabah merekodkan 497 kes positif baharu, 266 pesakit sembuh dan satu kematian di daerah Tawau.

scroll to top