Majlis Perbandaran Keningau Jadi Agenda Utama 2022 – Robert

TIBA ...Robert (kedua kanan) bersama Ketua Menteri dan Menteri Kabinet Sabah.

Oleh HENRY BATING

KENINGAU: Suatu pendekatan yang lebih tersusun sedang dipergiatkan untuk meningkatkan status Majlis Daerah Keningau (MDK) menjadi Majlis Perbandaran Keningau (MPK).

Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah Datuk Robert Tawik berkata langkah merealisasi usaha menaikkan status Pekan Keningau menjadi Bandar Keningau akan menjadi agenda utama parti itu tahun 2022.

“Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) telah meletakkan Keningau sebagai antara majlis daerah yang akan diaikkan taraf menjadi majlis perbandaran,” kata Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor.

Robert berkata demikian selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kelmarin.

Menurut Robert, MDK telah mempersiapkan profil untuk memenuhi persyaratan menjadi MPK manakala Pembantu Menteri KKTP Datuk Isnin Aliasneh dalam lawatan ke MDK telah mengumumkan kementerian itu telah meletakkan Keningau sebagai antara majlis daerah yang akan dinaik taraf menjadi majlis perbandaran.

Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya optimis, usaha menjadikan Keningau sebagai majlis perbandaran dapat dicapai melalui implementasi Bajet Sabah 2022 dan peningkatan kemudahan infrastruktur di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).

Kata Robert, Bajet Sabah 2022 baru diluluskan manakala Presiden STAR yang juga Ahli Parlimen Keningau Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dalam perbahasan di Dewan Rakyat menggesa Putrajaya meningkatkan bajet pembangunan untuk Sabah dan Sarawak termasuk Keningau.

Robert menyatakan, Keningau memiliki kepentingan dalam konteks BIMP-EAGA sama seperti dua majlis perbandaran di negeri ini iaitu Tawau dan Sandakan.

“Jika Tawau memiliki akses lautan dan udara ke Kalimantan Utara, Indonesia dan Sandakan – Zamboanga, Filipina, maka Keningau juga memiliki akses jalan darat dan sungai Pagalungan – Malinau Kalimantan Utara,” jelas Robert.

Sementara akses jalan raya antara daerah di Sabah menunjukkan Keningau menjadi persinggahan utama perjalanan menghubung pelbagai bandar utama seperti Tawau, Sandakan, Kota Kinabalu dan Kudat.

Di samping itu, kata Robert, Keningau merupakan daerah utama di pedalaman yang menempatkan jabatan kerajaan serta sektor tertentu sebagai kemudahan bersama daerah-daerah sekitar seperti Tambunan, Tenom dan Nabawan.

scroll to top