SANDAKAN: Mangsa yang dilaporkan hilang selepas dilihat disambar buaya di Taman Kenari, Batu 7, di sini, ditemui.
Bagaimanapun, ketika ditemui pasukan operasi bomba kira-kira jam 8 pagi itu, mayat mangsa berada dalam keadaan tidak sempurna.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mangsa ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari ketiga.
Katanya, sebaik operasi dimulakan pada jam 7.30 pagi, mangsa ditemui kira-kira 300 meter dari lokasi awal kejadian.
“Mayat mangsa ditemui di kawasan simpang tiga dalam keadaan tidak sempurna.
“Pasukan kemudiannya menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, operasi mencari sebahagian lagi badan mangsa masih diteruskan dan sebarang maklumat terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
Dalam kejadian Jumaat lalu, mangsa dilaporkan hilang selepas dipercayai dibaham buaya ketika cuba menyeberangi sungai menaiki rakit.
Menurut saksi kejadian, mangsa yang baru balik dari Masjid Taman Kenari cuba menyeberangi sungai berkenaan untuk balik ke rumah.
Mangsa dikatakan menggunakan rakit buatan sendiri berukuran empat meter persegi sebelum tiba-tiba disambar buaya.