Mantan AMT PBS berazam perkukuh Mahkamah Anak Negeri melalui STAR-GRS

Francis menyerahkan kepada Dr Jeffrey keahlian baharu dari Kalabakan.

KOTA KINABALU: Mantan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Bersatu Sabah (PBS), Francis Lawrence @ Yusof yang diterima menjadi ahli seumur hidup Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah berazam membantu Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperkasa Institusi Mahkamah Anak Negeri di Tawau, kawasan bersempadan Kalimantan Indonesia.

Francis, mantan Ketua Bahagian Penaja PBS Kukusan berkata, beliau akan bekerjasama rapat dengan Ketua-ketua Bahagian STAR dalam kawasan Parlimen Kalabakan yang terdiri daripada Tanjung Batu, Sebatik dan Kukusan.

Sebagai anggota baharu dalam Keluarga STAR, saya akan membantu ketua-ketua bahagian sedia ada untuk merealisasikan segala gerak kerja yang telah mereka rancang,” kata Francis yang turut dilantik Penyelaras STAR Parlimen Kalabakan.

Tiga bahagian STAR dalam kawasan Parlimen Kalabakan diketuai Rahmat Sawal (Kukusan), Idris Rajah (Sebatik) dan Betly Salleh (Tanjung Batu).

Francis, seorang usahawan di Tawau telah bersama PBS sejak 2000 dengan memegang pelbagai jawatan dalam parti seperti Ketua Pemuda Tanjung Batu, Naib Ketua Bahagian dan Timbalan Ketua Bahagian.

Di samping itu, Francis juga pernah menjadi Exco Pemuda PBS Pusat, Timbalan Ketua Pemuda PBS Pusat serta Ahli Majlis Tertinggi PBS (Kuota Bumiputera Islam) selama empat penggal.

Francis berterima kasih kepada Presiden STAR Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan dan pucuk pimpinan parti kerana memberi ruang kepadanya bersama rakan-rakan untuk menyertai parti itu.

Turut hadir dalam majlis singkat di Sokid Villa ialah Naib Presiden STAR Kapitan Stephen Teo dan Penolong Setiausaha Agung, Ardino Diris.

Menurut Francis, dia bersama rakan-rakan dari Kalabakan meninggalkan PBS atas kesedaran pendekatan perjuangan parti itu tidak lagi sama dengan era kepimpinan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Kami memutuskan menyertai STAR untuk menjadi sebahagian perjuangan Dr Jeffrey yang konsisten dengan tuntutan ke atas hak-hak Sabah, baik ketika di luar mahupun di dalam kerajaan,” katanya.

scroll to top