LABUAN: Sebuah kontena dengan muatan 25,200 kilogram ayam sejuk beku dari Denmark berjaya ditahan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Labuan.
Penahanan produk hasilan haiwan itu adalah bagi siasatan lanjut pihak pejabat Maqis Labuan, menurut Maqis Labuan dalam satu kenyataan, di sini.
“Hasil siasatan mendapati produk hasilan haiwan bernilai RM246,400 itu dibawa masuk menggunakan sebuah kontena sebelum ditahan di Pelabuhan Dermaga dan Merdeka di sini pada 30 Jun lalu.
“Pemeriksaan yang dijalankan pegawai penguatkuasa pejabat Maqis Labuan juga mendapati produk hasilan haiwan yang dikemukakan dengan Permit Import sudah tamat tempoh.
“Kegagalan pengimportan keluaran pertanian tanpa Permit Import yang sah menjadi suatu kesalahan mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011(Akta 728),” katanya.
Tambahnya jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak lebih RM100,000.00 atau penjara tidak lebih 6 tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama.
Maqis Labuan juga mengingatkan kepada pengimport dan pengeksport supaya lebih peka dan mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan kerajaan.
Katanya, ia bagi memastikan keselamatan makanan di negara ini terjamin dan selamat.– ADMIN.