Maritim Malaysia tahan dua bot nelayan tempatan

DITAHAN ...Salah sebuah bot nelayan yang ditahan kerana menggunakan kru warga asing tanpa dokumen sah.

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan dua bot nelayan tempatan selepas masing-masing didapati melakukan pelbagai kesalahan.

Antara kesalahan yang dikesan adalah termasuk penggunaan warga asing tanpa dokumen sah dan gagal memaklumkan penukaran nakhoda.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, kedua-dua bot berkenaan ditahan di dua kedudukan berbeza sekitar perairan Pulau Mengalum, di sini.

“Bot pertama berjaya ditahan ditahan sekitar jam 8.50 pagi di kedudukan 8.4 batu nautika tenggara Pulau Mengalum.

WARGA ASING …Kru bot kalangan warga asing tanpa dokumen sah.

“Pemeriksaan mendapati, empat kru warga Indonesia dan dua etnik Bajau Laut berusia 23 hingga 42 tahun gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, kelmarin.

Mohd Rosli berkata, pemeriksaan terhadap bot kedua pula dilakukan pada jam 9.20 pagi di kedudukan 8.5 batu nautika tenggara, perairan sama.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, empat orang kru termasuk tekong warga Indonesia berusia lingkungan 22 ke 59 tahun turut tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan lanjut pula mendapati pemilik bot berkenaan gagal memaklumkan penukaran nakhoda kepada Jabatan Laut Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Rosli berkata, kedua-dua bot nelayan berkenaan terus diiringi masuk ke Jeti Maritim Negeri Sabah.

Katanya, semua suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1956/63 serta Akta Perkapalan Saudagar 1952.

“Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan mengingatkan kepada komuniti maritim untuk terus menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa.

“Ia bagi memastikan sebarang perlakuan jenayah terutamanya di laut dapat dikekang sepenuhnya,” katanya.

scroll to top