Oleh MARIAYATI MURSIDI
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengambil beberapa tindakan dalam usaha menyelesaikan masalah capaian aduan Internet yang dihadapi oleh penduduk di beberapa buah lokasi di Sabah.
Menurut kenyataan Jabatan Komunikasi Korporat SKMM hari ini, pihaknya mengambil perhatian masalah capaian Internet di empat lokasi membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Permai, Tongod, Kinabatangan; Pulau Sebatik, Tawau; Kg. Sungoi Darat, Kota Marudu; dan Kampung Ulu Entabuan, Tenom.
“Susulan laporan media yang membangkitkan masalah capaian Internet yang dihadapi oleh Cikgu Nasir Mohd Jamal dari SK Desa Permai di Tongod, Kinabatangan, perkara berkenaan telah disiasat oleh SKMM.
“Satu pertemuan telah diadakan antara pihak SKMM Sandakan dan pihak penyedia perkhidmatan terdiri daripada Celcom, Digi dan Maxis dengan Cikgu Nasir ketika beliau sedang menjalankan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersama seorang pelajar, bagi melihat sendiri masalah yang dihadapi selain menjelaskan perancangan SKMM untuk menyelesaikan masalah berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Untuk penyelesaian jangka panjang pula, lokasi di mana sesi PdP Cikgu Nasir dengan pelajarnya di Kg. TulangTulang telah dimasukkan di dalam perancangan pelaksanaan menara komunikasi baharu di bawah Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1.
Kerja-kerja pembinaan menara baharu akan bermula pada awal tahun 2022 dan dijangka siap pada Disember 2022.
Sementara itu, servis menara sedia ada di Kg. Kuamut dalam pelaksanaan naik taraf kepada 4G di bawah pelan JENDELA yang djangka siap pada Disember 2021.
Sementara itu, bagi masalah capaian Internet Pulau Sebatik, Tawau pula, pihak SKMM Tawau bersama-sama dengan penyedia perkhidmatan telah mengadakan pertemuan dengan pengadu selain melaksanakan ujian kelajuan jalur lebar di lokasi aduan.
“Sebagai langkah sementara, pengadu telah dinasihatkan untuk tidak mengubah tetapan 4G pada perantinya dan menikmati kelajuan Internet sedia ada bagi pilihan penyedia perkhidmatan yang dilanggannya.
“Bagi penyelesaian jangka panjang pula, sebuah menara komunikasi telah dibina di Kampung Tamang dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada awal bulan ini.
“Pembinaan menara berkenaan akan memberikan perkhidmatan 4G oleh pihak Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile sekaligus mempertingkatkan capaian Internet di kawasan pengadu. Ini juga akan membolehkan para penduduk di sekitar Kg. Tamang, SMK Wallace Bay dan penduduk sekitarnya untuk menjalankan aktiviti seharian dengan lancar.”
Mengenai masalah capaian Internet penduduk di Kg. Sungoi Darat, Kota Marudu, pihak SKMM Sabah bersama-sama dengan penyedia perkhidmatan telah mengadakan pertemuan dengan pengadu dan isu capaian Internet yang lemah adalah akibat terhalang dengan bentuk muka bumi telah disiasat oleh SKMM.
Sebagai usaha bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Sabah, Kg. Sungoi Darat telah disenaraikan untuk disediakan perkhidmatan capaian jalur lebar melalui satelit Very Small Aperture Terminal (VSAT). Pelaksanaan inisiatif MOSTI Sabah dijangka akan dilaksanakan sekitar bulan Julai-September 2021.
Manakala bagi penyelesaian jangka panjang pula, lokasi ini akan dimasukkan di dalam perancangan JENDELA fasa akan datang.
Di Kampung Ulu Entabuan, Tenom pula, kisah dua pelajar bernama Richeal Claudia Rabinus dan Cypriantine Severinus yang terpaksa meredah kebun getah di kawasan berbukit untuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) susulan capaian Internet lemah di kampungnya, turut mendapat perhatian SKMM.
Satu pertemuan antara pihak SKMM Keningau dan wakil penyedia perkhidmatan dengan pengadu akan diadakan pada Khamis ini, 8 Julai bagi mendapatkan gambaran sebenar masalah yang dihadapi oleh kedua-dua pelajar terbabit selain menjelaskan perancangan SKMM untuk menangani masalah yang dihadapi.
Untuk penyelesaian jangka panjang, kerja-kerja menaik taraf liputan 4G menara komunikasi di Skim Penempatan Getah Lagud Seberang di bawah JENDELA sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada Januari 2022. Usaha ini akan dapat meningkatkan kualiti liputan jalur lebar di Kampung Ulu Entabuan.
Sehubungan itu, SKMM akan terus menjalankan pemantauan dan mengambil tindakan untuk menangani masalah capaian Internet di seluruh negara.