KOTA KINABALU: Setiap anggota masyarakat bertanggungjawab untuk membanteras dan memerangi jenayah komersial di negara ini.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan, Ir Shahelmey Yahya berkata, jenayah tersebut merupakan ancaman serius kepada rakyat kerana penipuan dalam talian boleh mengakibatkan kehilangan ratusan ribu ringgit seperti kes love scam, macau scam, penipuan belian online dan sebagainya.
“Menurut laporan Cybersecurity Malaysia, bagi tempoh Januari hingga Mei 2021, jumlah insiden keselamatan siber yang dilaporkan ke Pusat Bantuan Cyber999 kendalian CyberSecurity Malaysia adalah sebanyak 4,615 kes.
“Daripada jumlah itu, tiga insiden tertinggi iaitu Penipuan (3,229), Pencerobohan (765) dan Kod Berbahaya (256) dan saya difahamkan statistik kes jenayah siber yang dikendalikan oleh PDRM juga meningkat,” jelasnya.
Menurut beliau, sebagai pengguna ICT, masyarakat harus mengamalkan tatacara serta kaedah penggunaan teknologi dan internet termasuk laman media sosial secara positif, beretika dan bertanggungjawab.
“Peningkatan penggunaan laman sosial secara tidak langsung menyumbang kepelbagaian trend jenayah komersial terutama jenayah siber yang melibatkan aspek keselamatan pengguna seperti butir–butir peribadi yang mudah diperolehi dengan hanya secara whatsapp, telegram mahupun facebook.
“Kita perlu mengambil langkah-langkah wajar dan proaktif bagi mencegah daripada menjadi mangsa ancaman dan serangan siber.
“Antaranya dengan pemasangan antivirus di telefon, notebook dan komputer yang digunakan dan ini akan mengurangkan risiko ancaman keselamatan siber berbentuk serangan spyware.
“Jika tidak tahu kepentingan antivirus, kita akan menganggap perkara tersebut tidak perlu dan menggunakan internet tanpa batasan dan kawalan hingga terdedah risiko serta ancaman seperti antun siber, penipuan dan perjudian dalam talian, buli siber, kecurian identiti, pelanggaran hak cipta,” ucapnya ketika merasmikan Webinar ICT Memperkasa Wanita anjuran Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (Jhewa) menerusi aplikasi online zoom, di sini.
Oleh itu, ujar Shahelmey, pendedahan dan pendidikan kepada orang ramai jenayah siber ini penting untuk disebarluaskan kepada khususnya golongan wanita.
“Dengan webinar ini, para peserta dapat didedahkan dengan pengetahuan mengenai jenis jenayah siber, cara mengelak dan melindungi diri daripada menjadi mangsa jenayah sekaligus membanteras jenayah ini.
“Webinar sebegini juga penting terutama pada masa sekarang yakni hampir semua komunikasi dilaksanakan menggunakan medium internet dan laman sosial,” katanya.
Tambah Shahelmey, program empat kali setahun yang dikendali Jhewa akan dibawa ke setiap daerah bagi memberi peluang kepada wanita di luar kesedaran tentang jenayah siber.
Beliau berharap agar semua pihak dapat bersama-sama memberi komitmen dengan pihak kerajaan dalam usaha mencegah, mendidik dan membanteras jenayah termasuk jenayah siber.
Di samping itu, beliau turut merayu kepada ibu bapa dan orang ramai agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak serta anggota keluarga berkaitan penggunaan internet supaya tidak mudah terpengaruh dan menjadi mangsa pelbagai gejala sosial.
Turut serta dalam webinar tersebut ialah Pengarah Jhewa, Rusnah Kuyung serta Timbalannya, Haslina Ismail.-Penerangan.