Oleh ABD NADDIN HJ SHAIDDIN
KOTA KINABALU: Persatuan Mantan Pelajar Tajaan Yayasan Sabah (MAYA) menyampaikan sumbangan berupa makanan dan minuman kepada pihak Balai Polis Putatan dan Penampang hari ini.
Presiden MAYA, Datuk Ahmad Lakim yang juga Timbalan Presiden II Pertubuhan Kebajikan Islam Sabah (PERKIS), berkata sumbangan MAYA adalah untuk `frontliner’ PDRM di kedua-dua balai yang terlibat dengan tugasan dan kawalan Sekatan Jalan Raya (SJR) dan di Balai Polis di kedua-dua zon Penampang dan Putatan.
Pihak MAYA menyerahkan kepada OCPD dan OCS kedua-dua balai untuk menyalurkan bantuan berkenaan sama ada kepada ‘frontliner’ atau pihak yang mungkin terkesan dengan pandemik covid-19 yang datang memohon bantuan dari pihak balai.
Katanya, walaupun tidak mempunyai dana khas atau sumbangan khas dari mana-mana pihak, namun atas rasa kebersamaan menghadapi pandemik covid-19, MAYA meluluskan sebahagian bajet kos program tahun ini, digunakan untuk memberi sumbangan berkenaan.
Bajet berkenaan adalah bajet kos program bersemuka untuk tahun ini yang mungkin tidak dapat dibelanjakan tahun ini ekoran prosedur operasi standard (SOP) yang masih tidak membolehkan program bersemuka diadakan.
Ahmad memberitahu bahawa sebahagian dana program dan pengurusan MAYA diperolehi hasil dari sumbangan pihak pejabat YAB Ketua Menteri Sabah, ‘Government-Linked Companies’ (GLC) Sabah dan sumbangan individu mantan pelajar tajaan Yayasan Sabah.
Sebahagian lagi baki bajet MAYA akan gunakan untuk program tahun 2022 dan sebelum akhir tahun ini jika program bersemuka dibenarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

PRIHATIN…Rombongan Maya menyerahkan sumbangan untuk frontliner di Balai Polis Penampang.
Sekiranya Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 dan statistik Covid-19 di Sabah masih memberi kesan terhadap frontliner dan ahli-ahli MAYA dalam tahun ini, MAYA melalui Biro Kebajikan akan berusaha mencari dana untuk menyalurkan sumbangan yang diperlukan.
Turut hadir menyertai rombongan Presiden MAYA adalah Dr Zhamree Gulam Rasul, Timbalan Presiden, Kesuma Abdullah, Ahli Majlis Tertinggi dan Fariza Jimy, Setiausaha Kehormat MAYA.