Oleh MARIAYATI MURSIDI
PENAMPANG: Mayat seorang bayi lelaki ditemukan di tangga sebuah premis perniagaan di Bundusan petang hari ini.
Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menerima makluman awam menerusi Bilik Gerakan IPD Penampang berhubung penemuan bayi berkenaan kira-kira jam 1.10 petang.

DITEMUKAN: Mayat bayi lelaki yang ditemukan didalam beg plastik diletakkan di tangga berhampiran sebuah premis di Bundusan. – Gambar ihsan IPD Penampang.
Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian mendapati mayat bayi lelaki terbabit dijumpai di dalam satu beg plastik yang diletakkan di tangga berhampiran sebuah premis di kawasan berkenaan.
“Pasukan perubatan yang tiba di tempat kejadian mengesahkan bayi terbabit baharu dilahirkan dan telah meninggal dalam tempoh lebih kurang enam jam sebelum ditemukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mayat bayi berkenaan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk bedah siasat.
“Oleh yang demikian polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan,” katanya.
Mohd Haris berkata, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Penampang di talian 088-723961 atau Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang Inspektor Azerina Ali Omar di talian 014-653 5238.