Oleh ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN
KOTA KINABALU: Persatuan Penulis Budiman Malaysia (BUDIMAN), dan Persatuan Sastera Budaya Sabah (PSBS) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Cawangan Sabah akan mengadakan program Membilang Kinabalu untuk kali kedua pada 19 Ogos jam 10 pagi hingga 1.00 petang.

PROF DR ABDUL HALIM ALI
Presiden BUDIMAN, Prof Dr Abdul Halim Ali berkata program ‘Membilang Kinabalu’ yang berkonsep sembang santai lebih menjurus kepada pembangunan negeri Sabah dengan sorotan khusus kepada bidang bahasa, sastera, pendidikan, seni, budaya dan sosial.
“Khalayak berpeluang menyaksikan perbincangan menerusi ruang ilmu dan pengetahuan khususnya berhubungan dengan perkara-perkara atau isu-isu yang berkait dengan negeri Sabah.
Beliau berkata program baharu BUDIMAN itu mengundangkan tokoh-tokoh akademik, sosial, budaya, pendidikan, seni, bahasa dan sastera diundang sebagai pembilang (pewacana) dan kemudiannya disusuli dengan proses pendokumentasian untuk tujuan penerbitan.
Membilang Kinabalu 2 menampilkan panel iaitu Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Ts. Dr Ramzah Dambul; Ramli A R , aktivis teater, penyair dan ahli jawatankuasa PBSB, serta Timbalan Pengarah DBP Sabah, Nadin Salleh.
Perbincangan akan memberi tumpuan kepada isu drama dan teater di Sabah dengan tema ‘Menantang Halangan Sebelum Rebah’.
Prof Abdul Halim berkata program Membilang Kinabalu 2 diharap dapat membuka kesedaran warga Sabah terhadap kepentingan dan nilai khazanah kearifan tempatan yang tinggi nilainya demi pembangunan dan kemajuan negeri Sabah dan khasnya negara Malaysia amnya.
Program akan berlangsung menerusi pautan webinar secara Google Meet https://meet.google.com/mrq-hikk-jrt dan akan dirasmikan oleh Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif yang memiliki latar belakang penggiat budaya dan kesusasteraan yang aktif di Sabah.