Mini karnival serlah keunikan budaya, tradisi Orang Sungai

MERIAH…Antara hadirin sempena penutupan program itu.

TONGOD: Keunikan budaya dan tradisi asli orang  Sungai suku Milian  menjadi daya tarikan utama pengunjung Mini Karnival Kebudayaan dan Tradisi sempena Hari Etnik anjuran Persatuan Orang Sungai Milian Kinabatangan Sabah (POSMIK) yang diadakan di Kampung Kenang-Kenangan Tongod.

Antara aktiviti program yang berlangsung selama dua hari itu ialah memasak masakan tradisional Orang Sungai Milian menggunakan dapur kayu seperti kuih Panggi, Kuih Penyaam, Kamansi masak lemak, Tinamba ikan (jeruk ikan), dan Ikan Salai versi Orang Sungai Milian.

PERJUANG BUDAYA TRADISI…Presiden Posmik ,Haji Momin Awang Damit bersama Timbalan Presiden, Mahmud Amit.

Selain itu, pelbagai pameran turut diadakan sepanjang program itu.  Antara yang menjadi  tumpuan  orang ramai ialah pameran kitab-kitab lama dan buku-buku penuh bersejarah berkaitan kampung Kenang Kenangan yang dahulunya dikenali sebagai Kampung Tamoi.

Terdapat naskah-naskah penting yang menceritakan tentang kisah-kisah lampau dan sejarah-sejarah penting berkenaan perkembangan kampung ini yang menjadi tarikan utama bagi pengunjung.

Semasa program itu juga, turut dipamerkan ialah cara menyediakan alat tradisional Orang Sungai Milian Sabah iaitu“Bujak”atau lembing yang menjadi salah satu alat perburuan dan antara alat mempertahankan diri.

Pameran alat muzik tradisional suku kaum Orang Sungai Milian juga menarik perhatian . Pada masa sama, bengkel tarian tradisi  tarian Karantikung yang menjadi kebanggaan orang Sungai Milian juga turut diadakan.

Tarian ini diiktiraf sebagai antara tarian yang sangat unik dan pernah  dipersembahkan di pelbagai peringkat sehingga berjaya menjadi juara dan naib juara di salah satu pertandingan tarian antarabangsa.

Pemilihan lokasi Kampung Tamoi sebagai tempat dalam melaksanakan program ini bukan sekadar melaksanakan program sahaja malahan Lokasi Kg Tamoi adalah perkampungan Asal Orang Sungai Milian Kinabatangan.

Menurut cerita orang dahulu ( nenek moyang) mereka berasal daripada Kampung Tamoi dan Pekuburan Nenek Moyang Orang Sungai Milian banyak terletak di Kampung Tamoi dan berhijrah ke seluruh negara, negeri dan juga daerah lain khususnya di daerah Kinabatangan.

KENANG-KENANGAN…AJK bergambar di depan papan tanda Kampung Kenang-Kenangan Tongod.

Persatuan Orang Sungai Milian juga sempat melawat rumah dan persekitaran kampung dalam mengeratkan lagi kesatuan dalam bangsa Orang Sungai Milian.

Ahli persatuan juga  mendengar serba sedikit sejarah kampung dan pekembangan Orang Sungai Milian di Kampung  Tamoi oleh Mahalil  Haji Mutalib.

Presiden Persatuan Orang Sungai Milian Kinabatangan Sabah, Haji Momin Bin Haji Awang Damit dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program yang julung kalinya diadakan semenjak tertubuhnya persatuan ini.

Beliau turut memetik beberapa objektif pertubuhan antaranya adalah merapatkan hubungan kekeluargaan dan persaudaraan di kalangan ahli-ahli , membantu untuk mempertingkatkan taraf sosio-ekonomi ahli-ahlinya, menganjurkan aktiviti bercorak kebudayaan bagi memelihara tradisi kebudayaan keturunannya, selain menyatukan tenaga dan fikiran dalam kalangan ahli untuk tujuan kemajuan bersama dalam bidang hak pendidikan,ekonomi,sosial dan sebagainya.

Program itu turut dihadiri barisan Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Orang Sungai Milian Kinabatangan Sabah.

scroll to top