Mohd Yaakob dilantik CEO SESB baharu

MOHD YAAKOB

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) melantik Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu bagi menggantikan Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Unit Tenaga Sabah bermula 1 Mac 2022.

Mohd Yaakob memulakan karier dengan SESB sebagai Jurutera Elektrik di Bahagian Penghantaran SESB pada Mei 2004.

Sepanjang tempoh perkhidmatan selama 18 tahun di SESB, beliau berpengalaman luas dalam operasi, senggaraan, perancangan dan pembangunan aset-aset SESB melalui pelbagai jawatan sebagai Ketua Jurutera, Pengurus Besar, dan Pengurus Besar Kanan.

Beliau yang merupakan anak jati Sabah berasal dari Bongawan, Papar, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (Kuasa) daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan memiliki sijil Jurutera Elektrik Kompeten 275kV yang diperakui oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia.

Mohd Yaakob juga amat dikenali dalam sektor kejuruteraan di Sabah dimana beliau merupakan Naib Pengerusi Institut Jurutera Malayasia (IEM) cawangan Sabah.

Beliau juga merupakan Jurutera Profesional berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) dan Profesional Teknologis berdaftar dengan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) serta Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) International Council on Large Electric Systems (CIGRE), Malaysia.

scroll to top