Mulakan Sesi Persekolahan Dengan Azam Baharu – Fairuz

GUNTING RAMBUT: Fairuz (kanan) semasa program gunting rambut percuma anjuran Pejabat ADUN Pintasan.

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan Fairuz Renddan menyeru para pelajar memulakan sesi persekolahan baharu dengan azam dan semangat jitu untuk mencapai kejayaan.

“Adik-adik yang bakal memulakan sesi persekolahan pastinya akan bersemangat kerana saya yakin sudah lama adik-adik kita merindui suasana persekolahan seperti biasa, bertemu guru dan rakan-rakan.

“Jangan dilupa bahawa usaha untuk mengejar cita-cita perlu diteruskan walaupun dugaan pandemik COVID-19 masih belum berakhir,” katanya pada program Kembali Ke Sekolah (Back to School) gunting rambut percuma anjuran Pejabat ADUN Pintasan, di sini hari ini.

Lebih 200 pelajar di sekitar Kota Belud hadir dalam program berkenaan.

“Saya amat gembira kerana ramai adik-adik kita hadir memeriahkan acara kita, gunting rambut percuma beramai-ramai di perkarangan pejabat khidmat ADUN.

“Acara selama dua hari ini dijalankan sejak Sabtu lalu, sehingga hari ini (Ahad).

“Pastinya adik-adik kita akan kembali ke sekolah dengan segak bergaya, sekaligus bersemangat,” katanya.

Fairuz yang juga Ketua Armada Bersatu Negeri Sabah turut mengingatkan para pelajar dan guru untuk sentiasa berwaspada dan tidak alpa dengan risiko penularan wabak COVID-19 .

“Saya amat berharap kita semua saling menjaga satu sama lain, ibu bapa dan guru serta para pelajar, kita semua bersama saling mengingati, menjaga SOP dan sentiasa berdoa semoga kita dilindungi dan dijauhi daripada terjangkit dengan virus COVID-19.

“Pastinya akan sangat mengecewakan jika berlaku penularan kes di sekolah sehingga akan menjejaskan sesi persekolahan kelak,” katanya.

scroll to top