Mustapha bersama Azhar tinjau masalah banjir di Kg Rampayan Manggatal

TINJAU…Mustapha (tengah) membuat lawatan ke Kampung Rampayan Manggatal untuk mengetahui permasalahan penduduk di kawasan Sepanggar.

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud turun padang melawat beberapa kawasan yang sering dilanda banjir kilat di sekitar Kampung Rampayan Ulu,  Tobur Rampayan Laut, Manggatal hari ini.

Menurutnya, kejadian banjir ini sangat menyedihkan apabila terdapat kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Rampayan sering dilanda banjir.

“Kejadian ini sudah tentu menjejaskan proses pembelajaran pelajar SK Rampayan termasuk juga sering menjadi runggutan kalangan penduduk kampung.

“Rata-rata penduduk terpaksa membersihkan kesan lumpur akibat setiap kali kejadian banjir kilat melanda kawasan perkarangan sekolah ini,” katanya di sini hari ini.

Mustapha berkata, beliau akan mendapatkan maklumat secara terperinci daripada jabatan serta agensi berkaitan perancangan untuk mencari jalan penyelesaian masalah banjir berkenaan.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau, Azhar Matussin.

scroll to top