KOTA KINABALU: Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Sabah, Haji Mustapha Sakmud yang juga mantan Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah (2016-2022) menawarkan diri untuk berkhidmat kepada 108,370 pengundi di Parlimen P.171 Sepanggar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 ini.
Mustapha pernah bertanding di DUN Tempasuk dan DUN Usukan di Parlimen Kota Belud sebelum ini tetapi kurang bernasib baik.
Kini beliau dicalonkan oleh PH untuk menawan kerusi Parlimen P.171 Sepanggar yang kini disandang Datuk Mohd Azis Haji Jamman dari parti Warisan, yang sebelum ini pernah menjadi rakan PH di Sabah. Dalam PRU ke-14, Mohd Azis Jamman yang memperolehi 28,420 undi menewaskan Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN) yang mendapat 15,436 undi.
Jeffrey Kumin dari Parti Maju Sabah yang mendapat 2,958 undi dan Robert Sopining dari Parti Cinta Sabah dengan 971 undi, kehilangan deposit.
Dalam PRU-15 dengan pertambahan pengundi yang signifikan, undi penentu adalah dari kalangan pengundi berusia 20 hingga 39 tahun yang menjadi majoriti pemilih pada kali ini.
Mustapha Sakmud adalah Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Sabah sejak 2017, pernah menjadi Timbalan Pengerusi MPN Sabah (2016-2022) dan Setiausaha Politik Timbalan Ketua Menteri Sabah (2020).
Beliau memiliki Ijazah Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dari University of Aberdeen, Scotland (1992) dan Ijazah Sarjana Bidang pengurusan Perniagaan dari Universiti Malaysia Sabah.
Mustapha pernah menjadi Jurutera Instrumen Sabah Forest Industries SFI (1992) Pengurus dan Jurutera Telekom Malaysia (1993-2013), Pengurus Konsultasi Syarikat MRES sejak 2013, Ahli Lembaga Pelancongan Sabah (2018-2020), Setiausaha Politik Kementerian Pelancongan,Kebudayaan dan Alam Sekitar (2020) dan Ahli Majlis Daerah Kota Belud (2018-2020).
Dalam kegiatan NGO, Mustapha pernah menjadi Presiden Majlis Belia Sabah (2008-2010), Exco Majlis Belia Malaysia (MBM) (2006-2009), Timbalan YDP ABIM Sabah (2008-2009), Pengerusi Sabah Initiative for Generation (IFG) sejak 2013 dan Pengerusi Kinabalu Reform and Research Initiative for Strategic Leadership (KRISTAL) Sabah sejak 2016.
Mustapha pernah menerima anugerah Khalid Al Walid sempena Maal Hijrah 1430/2008, Tokoh Belia Negeri Sabah (2008), Jasa Bakti Presiden Majlis Belia Sabah (2008-2010), Pingat Bakti Belia Malaysia 2018 dari MBS dan Jaksa Pendamai (JP) 2018.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-15, Kerusi Parlimen P.171 Sepanggar menyaksikan pertembungan antara Mustapha Sakmud (PH) dengan Mohd Azis Jamman dari Warisan, Yusof Kunchang (PEJUANG), Datuk Yakub Khan (BN) dan Jumardie Lukman dari parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).