MYFutureJobs turunkan kadar pengangguran

Mustapa (duduk,tengah) ketika bercakap kepada media.

KOTA KINABALU:  MYFutureJobs merupakan antara usaha Kementerian Sumber Manusia (KSM) untuk menurunkan kadar pengangguran belia di Sabah.

Timbalan Menterinya, Mustapha Sakmud berkata bagi memastikan program tersebut berimpak tinggi, kadar kejayaan penetapan pekerjaan ditetapkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada permohonan yang lulus temuduga.

“Semasa program kerjaya di Dewan Masyarakat Manggatal pada 29 Disember lalu,  seramai 101 pemohon yang ditemuduga berjaya mendapatkan pekerjaan.

“Bagi menarik minat graduan berprestasi tinggi, majikan yang menawarkan gaji menarik juga dipelawa menyertai jerayawara MYFutureJobs peringkat negeri, zon dan daerah mengikut keperluan,” katanya kepada media sempena lawatan ke Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), pada Isnin.

Tambah Mustapha, KSM turut menggembleng usaha semua jabatan dan agensi kementeriannya bagi memastikan kesejahteraan sosial pekerja di Malaysia terpelihara seiring amanat Menteri KSM, V. Sivakumar pada 6 Januari lepas.

“KSM memfokuskan aspek pemerkasaan latihan, kebolehpasaran pekerjaan termasuk pembangunan sahsiah pelatih Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” ujar beliau.

Turut hadir, Pengarah PERKESO Sabah, Dr Mohd Ali Hindia dan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Sabah, Wan Zulkfli Wan Setapa.

scroll to top