Naib Canselor UMS lancar buku SHARE Model for Leaders

KERANGKA TERBAHARU: Taufiq (depan, tengah) dan Dato’ Nasrudin (dua dari kanan) menunjukkan buku SHARE Model for Leaders disertai para peserta yang terlibat dalam program SDGU4S yang akan turun padang selama dua hari ke Kg. Marakau dan Kg. Kilimu, Ranau.

KOTA KINABALU: Sebuah buku bertajuk ‘SHARE Model for Leaders’ yang memuatkan kerangka terbaharu dalam menerapkan konsep kepimpinan melalui program pemindahan ilmu dilancarkan semalam.

Buku berkenaan dibangunkan Timbalan Dekan Pascasiswazah dan Penyelidikan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS Profesor Madya Dr. Fatimah Ahmedy, dan Pengarah Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat (PKLM) UMS Dr. Jakaria Dasan.

Ia menghimpunkan penulisan berasaskan pengalaman projek pemindahan ilmu kepada komuniti yang ditulis beberapa ahli akademik.

Majlis pelancarannya disempurnakan Naib Canselor UMS Profesor Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin di Galeri Azman Hashim, di sini, semalam.

Menurut Taufiq, penerbitan buku itu adalah suatu inovasi di luar kotak pemikiran yang menggabungkan strategi dan pendekatan yang praktikal serta melibatkan rakan strategik yang berkaitan serta komuniti tertumpu yang terpilih.

“Buku ini menggabungkan strategi dan pendekatan yang praktikal serta melibatkan rakan strategik yang berkaitan serta komuniti tertumpu yang terpilih.

“Ia dibangunkan hasil daripada output program Sustainable Development Goals: University for Society (SDGU4S) dibawah kerjasama Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dengan UMS,” katanya.

Katanya, dengan adanya buku berkenaan sekali gus boleh dijadikan asas panduan kepada program-program libatsama masyarakat pada masa akan datang.

Sementara itu, Taufiq turut mengalu-alukan peserta dalam kalangan ahli-ahli akademik dari 20 Universiti Awam yang menyertai program SDGU4S di Kampung Marakau dan Kampung Kilimu, Ranau bermula hari ini (18 Mei) sehingga esok (19 Mei).

“Penganjuran program ini juga sangat unik kerana melibatkan komuniti sasaran bagi memberi pengalaman praktikal kepada para peserta yang terlibat.

“Komuniti Kampung Marakau selaku komuniti tertumpu dan komuniti Kampung Kilimu sebagai komuniti perbandingan dalam ‘shared leadership’ pastinya akan benar-benar memberikan impak pengalaman yang sangat berguna di samping menghasilkan dapatan-dapatan realistik yang boleh terus diaplikasikan oleh komuniti Bombon Marakau khususnya.

“Saya percaya kesemua peserta pasti dapat mempelajari sesuatu yang baharu dari program ini,” katanya.

Turut hadir, Pengarah AKEPT Profesor Dato’ Dr. Nasrudin Mohammed.

scroll to top