NGO, korporat sokong Abdullah Sibil dilantik TYT

HAJI ALIPA JACKERY

KOTA KINABALU: Meskipun belum ada kepastian sama ada  tempoh pelantikan Tun Juhar Mahiruddin sebagai Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah bagi penggal ketiga yang tamat pada Disember ini bakal disambung atau sebaliknya, pelbagai kalangan individu terus memberikan sokongan penuh kepada Yang Dipertua Majlis Gabungan Etnik Sabah (MAGEBS), Datuk Haji Abdullah Sibil untuk dilantik ke jawatan itu bagi tempoh yang akan datang.

Presiden Persatuan Cocos Sabah (PECOS), Haji Alipa Haji Jackery mewakili ahli Majlis Tertinggi (MT) dan semua ahli Pecos menyatakan sokongan penuh atas  cadangan untuk  melantik Datuk Abdullah Sibil sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri Sabah sekiranya tempoh pelantikan Tun Juhar berakhir penghujung tahun ini.

“Sokongan penuh PECOS ini adalah setelah meneliti dan menilai asas-asas dan ciri-ciri serta latar belakang Datuk Abdullah Sibil dari beberapa aspek seperti keperibadian, pencapaian akademik, pengalaman kerjaya dan juga jatidiri yang terbaik,” katanya.

Haji Alipa berkata, sejak Datuk Abdullah menyandang jawatan sebagai YDP MAGEBS mulai tahun 2016, beliau  membuktikan kesungguhan serta  kecemerlangannya dengan corak kepimpinan yang dapat menyatupadukan 34 kumpulan etnik bumiputera Sabah yang berbeza.

 

DATUK HAJI ABDULLAH SIBIL

Beliau berkata, semua presiden persatuan-persatuan di bawah MAGEBS sangat menghormati Datuk Abdullah Sibil sebagai pemimpin kerana  memperkenalkan pendekatan kepimpinan yang mesra, berkesan dan dinamik.

Dari aspek kerjaya, Datuk Abdullah Sibil berpengalaman 35 tahun berkhidmat di sektor awam iaitu di Jabatan Pertanian dan juga di beberapa sektor swasta seperti Pengerusi Rafflesia Medical Center, Gas Construction Sdn Bhd dan beberapa  syarikat lain.

“Dengan keperibadian, kepimpinan dan sumbangannya baik, kami yakin Datuk Abdullah boleh dilantik sebagai TYT,” katanya.

Sementara itu, mantan Presiden Rotary Club Luyang, Ade Adenan Ramdan amat bersetuju dengan cadangan untuk memilih Datuk Abdullah Sibil sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah.

“Banyak  pihak  menyatakan pelbagai faktor positif dari latarbelakang Datuk Abdullah dari segi pengalaman luas beliau samada di dalam pentadbiran negeri ini sebagai pegawai kanan di beberapa kementerian kerajaan dan malah di bidang kewangan dan perbankan sebagai Ketua Pegawai Kewangan di Sabah Credit Corporation, di mana beliau berkhidmat sehingga persaraan.

“Kewibawaan dan pengetahuan luas yang dimiliki beliau diakui dan terbukti dengan penglibatan aktif di sektor swasta sejurus selepas bersara apabila beliau dijemput dan dilantik untuk mengetuai lembaga pengarah di beberapa syarikat swasta, selain daripada usaha perniagaan dan syarikat beliau sendiri,” katanya yang juga seorang ahli korporat.

Menurutnya,Datuk Abdullah juga adalah tokoh yang amat dikenali dan disegani di kalangan badan bukan kerajaan dengan kepimpinan beliau di pelbagai pertubuhan profesional, kebajikan, etnik dan keagamaan.

“Usaha dan kejayaan beliau menyatukan dan seterusnya dipilih untuk memimpin gabungan kesemua 34 persatuan etnik bumiputera Sabah sejak 2016 melalui MAGEBS membuktikan kebolehan dan bakat beliau sebagai pemangkin untuk perpaduan rakyat negeri Sabah,” katanya.

Sebaliknya, umum mengetahui beberapa personaliti lain juga  diuar-uarkan atau dicadangkan untuk jawatan yang sama. Saya amat tidak yakin dengan kesesuaian tokoh-tokoh tersebut yang selama ini hanya dikenali oleh rakyat Sabah sebagai pemimpin politik.

Ini adalah kerana Yang Dipertua Negeri Sabah memerlukan seseorang yang bukan sahaja sebagai simbol perpaduan, malah lebih penting lagi tokoh tersebut seharusnya boleh diterima dan diyakini oleh keseluruhan rakyat Sabah sebagai ‘non-partisan’ atau tidak memihak kepada mana-mana pihak terutamanya di dalam soal berkaitan politik dan pentadbiran negeri.

ADE ADENAN RAMDAN

“Sebagai ahli peniagaan, aktivis bukan kerajaan dan pemerhati politik dan hal-ehwal semasa, saya yakin sepenuhnya bahawa Datuk Abdullah Sibil adalah tokoh dan personaliti  paling tepat untuk dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang seterusnya,” kata Ade Adenan.

Seorang lagi rakan beliau, Mohammad Zikrun yang bersama Datuk Abdullah Sibil sejak  di Louisiana University (dulu Southwestern University) USA, sehinggalah bersama  beliau di Dewan Usahawan Bumiputera Negeri Sabah (DUBNS) dan MAGEBS menyifatkan Abdullah  mempamerkan kualiti kepimpinan yang sangat matang, penuh toleransi dan berintegrati.

“Dengan pengalaman dan pengetahuan luas dalam sektor ekonomi, perniagaan, pentadbiran dan pengurusan organisasi, ditambah dengan `proven capability with high standard’ dalam bidang-bidang kebajikan, keagamaan dan sosial, terutama dalam menyatupadukan 34 etnik di Sabah, Datuk Abdullah adalah calon yang sangat sesuai untuk  ditabalkan sebagai TYT yang baru bagi tempoh yang datang,” katanya sambil menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan itu.

scroll to top