OBCJ bantu turunkan kadar jenayah indeks Kota Kinabalu

MOHD ZAIDI semasa meninjau pelaksanaan OCBJ di beberapa lokasi di sekitar Kota Kinabalu, awal pagi kelmarin.

KOTA KINABALU: Operasi Bersepadu Cegah Jenayah (OBCJ) yang dilaksanakan berjaya membantu menurunkan jenayah indeks di daerah ini, sejak Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata,  pelaksanaan operasi ini adalah pendekatan terbaik dalam usaha mencegah jenayah daripada terus berleluasa.

Katanya, ia perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa demi menjaga keselamatan masyarakat awam di sekitar daerah ini.

“Kita mahu masyarakat sedar dengan kesungguhan dan komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menurunkan kadar jenayah agar masyarakat berasa selamat menerusi pelaksanaan OCBJ.

“Hasil pelaksanaan OCBJ ini, polis berjaya melakukan pelbagai tangkapan termasuk dua daripadanya adalah kumpulan yang dikehendaki kerana aktif melakukan kes pecah rumah di kawasan Luyang pada Mac dan Mei lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan tinjauan pelaksanaan OCBJ di beberapa lokasi di sekitar Kota Kinabalu, awal pagi kelmarin.

Mohd Zaidi berkata, pelaksanaan operasi ini juga sekaligus membantu menyelesaikan beberapa kes berkaitan kesalahan memiliki dadah.

Katanya, bagi memastikan operasi yang dilaksanakan terus berkesan, pihaknya sentiasa melakukan ‘post mortem’ untuk mengkaji serta memperbaiki operasi dari semasa ke semasa.

“Contohnya waktu operasi yang sebelum ini bermula jam 12 tengah malam hingga 4 pagi dan apabila modus operandi penjenayah berubah kita tukar kepada dua syif termasuk jam 4 pagi hingga 8 pagi.

“Lantaran itu, kita berjaya menurunkan kes jenayah dengan menukar waktu di semua kawasan pentadbiran IPD Kota Kinabalu.

“Kita bukan saja menumpukan kawasan perumahan mewah atau elit semata-mata tetapi juga pemantauan tanpa mengira waktu bagi mengesan kenderaan yang disyaki atau dicurigai untuk tujuan jenayah, ” katanya.

scroll to top