Op Landai patahkan cubaan seleweng barang subsidi

TAHAN ... Suspek berjaya ditahan bersama pelbagai barangan bersubsidi dibawa ke  Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut.

SANDAKAN: Cubaan seorang pemandu lori menyeleweng pelbagai barangan bersubsidi gagal selepas berjaya ditahan Pasukan Polis Marin (PPM), di tepi sungai Kampung Pangkalan, Batu 10, di sini, pada Selasa.

Lelaki berusia 40-an itu ditahan ketika membawa pelbagai barangan berkenaan kira-kira jam 4 pagi.

Difahamkan, antara barangan yang berjaya dirampas termasuk 400 liter petrol, 40 kilogram tepung gandum, 48 kilogram gula dan 170 kilogram beras.

Semua barangan berkenaan dianggarkan sebanyak RM1,699 dan menjadikan nilai keseluruhan rampasan termasuk lori berjumlah RM136,699.

Menurut sumber, ketika pemeriksaan dijalankan, pemandu lori terbabit gagal mengemukakan surat atau dokumen daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Semua rampasan berkenaan terus dibawa ke  Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan selanjutnya.

scroll to top