Oleh ABD NADDIN SHAIDDIN
KOTA KINABALU: Persatuan Graduan Iranun Sabah (PAGISA) mempelawa seluruh umat Islam di negeri ini khususnya masyarakat Iranun untuk menyertai Program Korban, Aqiqah dan Sedekah di Kota Belud, Sabah, Mindanao Filipina dan Inderagiri Hilir, Riau Indonesia.
Presiden PAGISA, Zakaria Haji Barabag, program Korban, Aqiqah dan penyampaian sedekah itu akan diadakan pada Julai depan sempena Hari Raya Aidil Adha.
Menurutnya, selain Kota Belud Sabah, program itu juga dilaksanakan di Mindanao, Selatan Filipina yang dihuni masyarakat Islam yang memerlukan perhatian kerana faktor kemiskinan selain masih ketinggalan.
Katanya, program itu juga dijangka diadakan di beberapa buah desa di Inderagiri Hilir, Riau Indonesia yang memiliki hubungan sejarah dan budaya dengan masyarakat Iranun di Kota Belud (ketika itu dikenali sebagai Tempasuk).
Zakaria berkata, program Korban, Aqiqah dan Sedekah itu diharap dapat merapatkan lagi hubungan silaturahim di kalangan masyarakat Iranun dan diaspora Iranun yang terpisah sekian lama.
Ibadah korban adalah salah satu ibadah yang sangat dituntut oleh Islam secara khusus ke atas mereka yang berkemampuan untuk melaksanakannya kecuali korban wajib atau nazar yang sememangnya wajib ditunaikan oleh mereka yang bernazar.
Secara asasnya ibadah korban lebih afdal dilaksanakan sendiri oleh pihak yang melakukan korban supaya mereka dapat menyaksikan proses penyembelihan, memakan daging korban dan mengagihkan daging korban kepada ahli keluarga mereka, fakir miskin dan hadiah kepada sahabat handai atau jiran malah, tiada larangan khusus pengagihan daging korban kepada golongan fakir miskin yang tidak beragama Islam.
“ Selain dapat meringankan bebanan para asnaf, proses pengagihan daging korban juga dapat memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Ibadah korban dapat membantu serta membahagiakan golongan fakir miskin. Selain dapat meringankan bebanan mereka, ibadah ini juga dapat melahirkan kegembiraan melalui hubungan silaturahim yang terjalin semasa aktiviti pelaksanaan ibadah korban.
Pengagihan daging korban merupakan salah satu bentuk penghargaan dan hormat yang dapat melahirkan rasa kesaksamaan dalam Islam.
“Kadar sumbangan korban dan aqikah berdasarkan harga haiwan sembelihan yang berkuatkuasa di tempat-tempat berkenaan,” katanya.