PAKAT Minta Kerajaan Guna Budi Bicara Sebelum Sekat Rakyat Belum Vaksin

RAINUS SAGULAU

Oleh ABD NADDIN HJ SHAIDDIN

TENOM: Persatuan Penduduk Pengulobon Abingkoi Korolok dan Ahuron (PAKAT) Tenom meminta kerajaan menggunakan budi bicara dan tidak mengenakan sekatan kepada rakyat untuk bergerak rentas daerah semata-mata kerana mereka belum menerima suntikan vaksin.

Presiden PAKAT, Rainus Sagulau berkata, hak asasi rakyat untuk bergerak tidak boleh diketepikan kerana mereka perlu bergerak rentas daerah untuk keperluan tertentu.

“Mereka yang boleh menerima suntikan vaksin  bukan bermakna mereka menolak vaksin tetapi mungkin disebabkan beberapa faktor, dari segi kesihatan, menghidap penyakit tertentu dan sebagainya,” katanya.

Rainus berkata, ada pula di kalangan mereka yang belum menerima vaksin menunggu waktu yang lebih sesuai  kerana enggan bersesak-sesak untuk mendapatkan suntikan di PPV.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pegawai Daerah Keningau, Walter Kenson yang menyatakan mereka yang enggan divaksin akan berhadapan  pelbagai sekatan kebebasan termasuk tidak boleh keluar daerah, tidak dibenarkan duduk di kedai kopi, tidak dibenar masuk rumah ibadah, pejabat kerajaan, sekolah, hospital, bank dan banyak lagi.

Rainus meminta pihak kerajaan agar menggunakan budi bicara dan memastikan hak asasi manusia sentiasa terjamin sebelum mengenakan sekatan kepada rakyat.

“Fikir yang terbaik untuk rakyat dahulu sebelum merancang dan bertindak,” katanya.

Menurutnya,  Pakat tidak bersetuju tindakan kerajaan untuk melaksanakan sekatan kepada rakyat yang belum mendapat vaksin.

Apa yang perlu dilakukan ialah kerajaan memastikan agar semua rakyat menerima vaksin sebelum melaksanakan sekatan.

Walaupun begitu, Rainus meminta kerajaan lebih prihatin terhadap nasib rakyat yang menghadapi kesukaran hidup ketika pandemik Covid-19.

scroll to top