Pandangan persatuan etnik perlu diambil kira

DATO HAJI REKAN HUSSIN

KOTA KINABALU: Pelbagai pihak menyokong cadangan agar  Yang Dipertua Majlis Gabungan Etnik Sabah (MAGEBS), Datuk Haji Abdullah Sibil dilantik sebagai Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri sekiranya Tun Juhar Mahiruddin tamat tempoh pelantikannya Disember ini.

Pengerusi Pertubuhan Sabar Bersama Rakyat Malaysia (BARA) Negeri Sabah, Dato Haji Rekan Haji Hussin berkata Abdullah adalah orang yang paling tepat dilantik sebagai TYT Yang Dipertua kerana beliau memiliki pengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan korporat selain kewibawaannya yang terserlah dalam memimpin gabungan persatuan-persatuan etnik di negeri ini.

Oleh itu, pandangan persatuan-persatuan etnik terutamanya yang bergabung dalam MAGEBS perlu diambil kira dalam menentukan calon pengganti TYT kelak.

Bagaimanapun  pelantikan TYT juga adalah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong setelah berunding dengan Ketua Menteri Sabah.

“Sekiranya YAB Ketua Menteri belum menamakan calon pengganti TYT , kami berharap agar Datuk Haji Abdullah Haji Sibil dipertimbangkan sebagai salah seorang pemimpin paling layak untuk memegang jawatan itu kerana boleh mewakili pelbagai etnik di negeri ini.

“Kami menyokong sepenuhnya cadangan agar Datuk Abdullah dilantik TYT kerana pengalaman dan kredibiliti yang dimilikinya,” katanya.

Sebelum ini, Persatuan Sama Sabah (PSS) mencadangkan nama  Abdullah Sibil sebagai calon pengganti TYT sekiranya tempoh pelantikan Tun Juhar tamat pada penghujung tahun ini.

Cadangan itu kemudian mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk persatuan etnik, persatuan, ngo dan kalangan korporat.

Untuk rekod, Abdulah memiliki pengalaman sebagai penjawat awam selama 35 tahun, pernah berkhidmat selama 17 tahun dalam institusi kewangan, terlibat secara aktif dalam NGO lain seperti President of ROTARY Club of Luyang, Pengerusi Masjid Taman Seri Gaya, Kota Kinabalu, President of Society Agricultural Scientist of Sabah (SASS) dan lain-lain lagi NGO. Kini Abdullah adalah Pengerusi Koperasi Perkhidmatan Awam (KHDIMAT).

Abdullah yang juga  alumni pelajar Sabah College, Kota Kinabalu, berkelulusan Diploma in Planting Industry and Management, ITM Shah Alam (1976),Bachelor of Science Degree di University Of Louisiana, USA (1985) Master of Science Degree di Sam Houston State University, Texas (1986). dan juga  Graduate with Certificate of Distinction-Programme on Investment Appraisal and Management di Harvard University (1996).

Tempoh pelantikan Tun Juhar Mahiruddin sebagai Yang Dipertua Negeri bagi penggal ketiga selama empat tahun bermula 1 Januari 2019  tamat pada Disember ini.

Bagaimanapun, pada tahun 2018,Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan pindaan Perlembagaan Negeri Sabah melibatkan tempoh pelantikan Yang Dipertua Negeri Sabah (TYT) dalam Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri.

Dengan kelulusan itu, pelantikan Yang Dipertua Negeri Sabah (TYT) tidak lagi dihadkan kepada dua penggal (lapan tahun) seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negeri sebelum ini. Dibawah pindaan ini, pelantikan TYT Sabah tidak lagi mempunyai had tertentu.

scroll to top