Pandemik Covid-19 Bukan Alasan Lupakan Hari Kebangsaan

PASANG... Ruslan sedang memacakkan Jalur Gemilang pada cermin hadapan kenderaan salah seorang penduduk di Kg Jaya Baru Lumadan, sambil diiringi Matbali (dua dari kiri) dan Harun (kanan).

BEAUFORT: Pandemik Covid-19 bukan alasan untuk rakyat melupakan hari kebangsaan negara ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lumadan, Ruslan Muharam berkata rakyat seharusnya menzahirkan semangat patriotisme menerusi kibaran Jalur Gemilang sepanjang sambutan bulan kebangsaan ini meskipun negara masih dilanda pandemik Covid-19.

“Sepanjang sambutan bulan kebangsaan ini, rakyat seharusnya mengibarkan Jalur Gemilang sama ada di rumah, di pejabat serta di kawasan kampung masing-masing.

“Sekalipun negara masih dilanda wabak Covid-19, kibarkanlah Jalur Gemilang dengan kreativiti sendiri dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.

“Pandemik Covid-19 bukanlah alasan untuk rakyat melupakan hari bersejarah negara yang kita sambut setiap bulan Ogos hingga 16 September nanti,” ujarnya selepas menyempurnakan gimik Program Pelancaran Bulan Kebangsaan Peringkat Daerah Beaufort di Dewan Sri Dayang Lumadan, pada Ahad.

Pada program itu, Ruslan yang menerima Jalur Gemilang daripada Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Harun Maddasa kemudian mengagihkannya kepada wakil-wakil anak negeri, pengerusi-pengerusi masjid serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk dikibarkan.

KIBAR…Harun (dua dari kanan) bersama Matbali (tiga dari kanan) dan Ruslan (empat dari kiri) mengibarkan Jalur Gemilang dan Bendera Sabah di Dewan Sri Dayang Lumadan.

Dalam pada itu, Ruslan yang turut diiringi Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Matbali Musah, Pegawai Daerah, Abdul Basirun dan Pegawai Penerangan Daerah, Awang Muil Awang Raya juga memacakkan Jalur Gemilang pada cermin kenderaan awam di Kg Jaya Baru Lumadan sebagai satu lagi gimik program berkenaan.

Secara keseluruhannya, dedah Harun, Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah menggerakkan 120 petugas dengan 30 buah unit bergerak untuk melaksanakan hebahan serta kempen mengibarkan Jalur Gemilang di seluruh ceruk negeri ini.-Penerangan.

scroll to top