Oleh ABD NADDIN SHAIDDIN
KOTA KINABALU: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah menzahirkan rasa bangga dan bersyukur atas kenyataan Datuk Bung Moktar Radin berkaitan sokongan berterusan terhadap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Kenyataan seumpama ini merupakan satu pendirian teguh untuk terus memperjuangkan mandat rakyat,” kata Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling.
Menurutnya, ini juga bersesuaian dengan kenyataan terbaru Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS yang juga menekankan kepada kestabilan negara dan tumpuan negara untuk menangani pandemik Covid-19.
“ Waktu mencabar begini sepatutnya kita bersatu mengukuhkan kesepakatan dan membela nasib pelbagai lapisan rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19,” kata Mohd Aminuddin.
Katanya, PAS Sabah sentiasa konsisten membela kepentingan dan nasib rakyat melewati sempadan kaum dan agama.