LABUAN : Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Labuan, Datuk Bashir Alias mengarahkan jentera pilihan raya parti UMNO dan BN untuk mengajak “pengundi putih” memilih parti itu untuk memerintah Wilayah Persekutuan Labuan bagi tempoh lima tahun akan datang.
Beliau yang juga Pengerusi BN Labuan mengajak penyokong parti itu yang terdiri daripada golongan belia untuk memainkan peranan sebaiknya dalam memastikan pengundi muda khususnya yang berumur 18 tahun menjalankan tanggungjawab mereka.
Selain itu, pihaknya juga akan mengerah seluruh tenaga kepimpinan UMNO dan BN di peringkat Bahagian, Cawangan, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri sehingga hari pengundian pada 19 November untuk meraih undian masyarakat.
“Jentera pilihan raya BN perlu bekerja kuat untuk memastikan pengundi putih terus kekal bersama Barisan Nasional.
“Kita juga perlu memastikan pengundi muda yang berumur 18 tahun memberikan undi mereka kepada calon BN,”katanya.
Beliau berucap ketika mengadakan lawatan ke Markas Pusat Daerah Mengundi (PDM) Ganggarak, malam, di sini.
Turut hadir Pengarah Pilihan Raya BN Labuan, Datuk Khalid Abd Ghani.
Bashir tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada semua petugas jentera pilihan raya BN di semua PDM pada PRU-15 ini.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Bashir yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan akan menentang penyandangnya, Datuk Rozman Datuk Isli bersama empat lagi pencabarnya.
Rozman yang memenangi kerusi Parlimen P166 Labuan selama dua penggal pada PRU13 dan PRU14 atas tiket BN sebelum melompat ke Parti Warisan Sabah akan ditentang oleh seorang lagi mantan Ahli Parlimen Labuan iaitu Datuk Suhaili Abdul Rahman yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).
Selain itu tiga lagi calon yang menawarkan diri untuk bertanding pada kali ini ialah Datuk Wira Dr Ramli Tahir dari Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Ramley Mat Daly dari parti Pejuang dan Dayang Rusimah @ Raynie Datuk Mohd Din yang bertanding atas tiket Parti Bangsa Malaysia (PBM).