Pastikan Rakyat Di Kampung Terima Suntikan Vaksin

Oleh ABD NADDIN HJ SHAIDDIN

KUNAK: Pelbagai cara boleh dilakukan untuk memastikan lebih ramai orang menerima suntikan vaksin di seluruh negeri termasuk membuat penjadualan masuk ke kampung-kampung hingga ke pelusuk terpencil di kawasan luar bandar, kata pemmpin masyarakat, Kassim Ajirul.

Beliau berkata, jika pihak kerajaan bersungguh-sungguh untuk melaksanakan vaksinasi kepada rakyat, mereka boleh mengadakan jadual masuk kampung yang lebih teratur dan menggunakan kemudahan prasaran sedia ada seperti mini dewan dan balai rayat sebagai tempat untuk suntikan vaksin.

Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  diminta memperbanyakkan sukarelawan bagi membantu  rakyat pelbagai lapisan menerima suntikan vaksin.

Kassim berkata, tidak dinafikan sudah ramai anggota masyarakat menerima suntikan vaksin di dewan komuniti, balai raya dan sebagainya namun ia meminta agar kempen itu diperhebatkan lagi.

Beliau juga melahirkan rasa kecewa kerana masih ramai menunggu suntikan vaksin walaupun sudah lama mendaftar di aplikasi MySejahtera namun sehingga kini belum menerima panggilan.

“Ini adalah antara sebab mengapa ramai lagi rakyat Sabah belum menerima suntikan vaksin,” katanya kepada Sabah360online.com.

Selain masalah bekalan vaksin yang tidak mencukupi, masalah lain yang dihadapi ialah masalah kekurangan kakitangan untuk melaksanakan suntikan vaksin di kampung-kampung.

Kassim juga menyarankan agar kerajaan menghentikan pemberian bakul makanan dan sebagainya sebaliknya menyalurkan bantuan RM1,500 setiap individu melalui akaun bank masing-masing tetapi dengan syarat mereka hanya boleh mengeluarkan wang berkenaan jika sudah mengambil suntikan vaksin.

scroll to top