Pasukan C-19 Busters Bantu Cegah Pandemik COVID-19

BERI KHIDMAT… Pasukan C-19 Busters UPSI bersedia untuk memberi perkhidmatan.

Oleh ABD NADDIN SHAIDDIN

KOTA KINABALU: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)   mengambil langkah proaktif  menubuhkan satu pasukan khas yang diberi nama ‘UPSI C-19 Busters’  terdiri daripada 17 orang sukarelawan dalam kalangan kakitangan UPSI sendiri.

Pengarah Bahagian Pengurusan Risiko dan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (BPRKKP atau ROSH), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Marinah Awang berkata Satu Logo khas direka sebagai tanda pengiktirafan dan penghargaan kepada semua sukarelawan pasukan ini.

Menurut beliau di bawah AKTA514 (Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan) adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk melindungi para pekerja dan orang yang berada di premis kerja serta menyediakan persekitaran kerja yang sihat dan selamat demi menjaga kebajikan dan kesejahteraan para pekerja.

Di samping itu proses sanitasi ini adalah sebagai salah satu usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak COVID-19 di tempat kerja dan seterusnya jangkitan ke komuniti.

SOP MKN ada menyatakan dengan jelas bahawa sekiranya ada terdapat jangkitan yang postif COVID-19 di tempat kerja maka sanitasi perlu diadakan. Begitu juga dengan SOP yang dikeluarkan oleh pihak KKM, proses sanitasi adalah wajib dilakukan untuk mengelakkan jangkitan virus ini kepada individu lain yang akan berada di kawasan yang berkenaan.

Rasional penubuhan Pasukan C-19 Busters, katanya,  bertujuan memberi peluang dan pendedahan kepada staf UPSI untuk lebih prihatin dan bertanggungjawab serta mempunyai perasaan teamwork antara pusat tanggungjawab seperti ROSH, PKU, Jabatan Pengurusan Pembangunan dan Harta Benda, Bahagian Keselamatan , Bahagian Pengangkutan dan lain-lain.

“Ia juga mengurangkan kos perbelanjaan UPSI sekiranya melantik agensi lain melakukan kerja-kerja sanitasi, malah pasukan C-19 Busters mempunyai kapasiti dan keupayaan yang sama untuk menjalankan tugas sanitasi pada bila-bila masa diperlukan,” katanya.

Beliau berkata kumpulan sanitasi ini juga boleh menjadi pakar rujuk sanitasi di masa hadapan serta menyumbang khidmat kesukarelawan kepada UPSI dan juga komuniti di luar UPSI.

Beliau berkata Pasukan C-19 Busters UPSI  mendapat latihan secara berstruktur dengan memfokuskan kepada kemahiran pengendalian bahan kimia dan gerak kerja sanitasi daripada PKD Muallim (KKM). Sanitasi pertama telah dijalankan dengan jayanya pada 16 Februari 2021 dengan mensasarkan kepada Bangunan Kolej yang menjadi tempat kuarantin pelajar kes positif Covid-19.

Sehingga hari ini Pasukan C-19 Busters UPSI  melakukan banyak gerakkerja proses sanitasi di dalam premis UPSI.

Bukan itu sahaja malah Pasukan C-19 Busters UPSI ini juga banyak membantu ketika Aktikiti Pergerakan Penghantaran Balik Pelajar anjuran JHEPA.

Pasukan itu juga melakukan sanitasi ke atas bas dan juga barang-barang pelajar sebelum memulakan pergerakan bas.

Beliau berkata tindakan pantas Pasukan C-19 Busters ini berjaya mengurangkan kos operasi, masa, kewangan  dan telah dapat mengembalikan keyakinan dan menghilangkan kerisauan para pekerja untuk masuk ke tempat kerja masing-masing.

Menurut Marinah pihak pengurusan tertinggi UPSI amat bangga dengan inisiatif murni ini bukan sahaja dapat menjimatkan kos sanitasi, mempelbagaikan kemahiran tetapi juga dapat berbakti kepada seluruh warga UPSI.

“Syabas dan tahniah kepada Bahagian Pengurusan Risiko, Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (ROSH), serta para sukarelawan atas penubuhan Pasukan C-19 Busters UPSI,” katanya.

scroll to top