Oleh ABD NADDIN HJ SHAIDDIN
KOTA BELUD: Persatuan Bajau Sama Sabah (PBSS) daerah Kota Belud meneruskan program ‘Prihatin PBSS’ dengan menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada rakyat yang memerlukan.
Bantuan yang diberikan bukan sekadar bekalan makanan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik COVID-19, tetapi PBSS juga memberikan bantuan berupa bahan keperluan untuk pembinaan rumah.
Terbaharu PBSS Kota Belud menghulurkan sumbangan berupa bahan bata dan ‘block’ beserta simen untuk membantu 3 buah keluarga yang menjadi mangsa kebakaran rumah di Kampung Peninting Kota Belud baru-baru ini.
Tiga keluarga daripada 3 buah rumah yang didiami terbakar hangus ketika kawasan perumahan di kampung berkenaan dikenakan arahan PKPD oleh MKN.
Semua keluarga mangsa yang kehilangan harta benda hangus dijilat api, kini tinggal di rumah saudara-mara masing-masing.
Walau bagaimana pun mereka terus berusaha membina rumah baharu dengan sedikit sumbangan bantuan daripada sanak-saudara, orang ramai, NGO dan pihak-pihak tertentu.
Prihatin atas keadaan mangsa, akhirnya PBSS Kota Belud tampil menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban kesusahan yang ditanggung keluarga berkenaan.
Timbalan Presiden PBSS,Datuk Haji Musbah Haji Jamli meminta Pengerusi PBSS daerah Kota Belud Idris Haji Nanti untuk mewakili beliau menyampaikan sumbangan bagi membolehkan mangsa membina semula rumah baru untuk kediaman keluarga.
Sumbangan itu diterima oleh Serain Asin bagi mewakili semua mangsa.
Penghantaran sumbangan berkenaan dilaksanakan dengan bantuan sukarelawan PBSS daerah Kota Belud yang bergerak ke kampung berkenaan dengan pematuhan SOP yang ketat.
Serain yang mewakili semua mangsa mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada pihak PBSS Kota Belud terutamanya Datuk Haji Musbah yang tidak pernah berhenti memberikan sumbangan kepada rakyat walau pun bukan lagi menjadi ADUN di kawasan berkenaan.
PBSS yang diterajui oleh Presiden, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sememangnya dikenali sebagai sebuah NGO yang sentiasa menyokong program prihatin rakyat dan aktiviti kebajikan PBSS di semua daerah di Sabah.