PBSS Hulur Sumbangan Kepada Pondok Tahfiz Kampung Lamau

PRIHATIN…Timbalan Presiden PBSS , Datuk Haji Musbah Haji Jamli bersama pengasas pondok tahfiz, Haji Jibar dan Pengerusi Pondok Tahfiz Amirul Haji Jibar dan hadirin.

Oleh ABD NADDIN HJ SHAIDDIN

KOTA BELUD: Pelajar-pelajar Pondok Tahfiz di Kampung Lamau Rampayan Ulu rasa bertuah kerana mendapat perhatian dan bantuan Persatuan Bajau Sama Sabah (PBSS) menerusi Timbalan Presidennya, Datuk Haji Musbah Haji Jamli yang  menghulurkan sumbangan ikhlas berupa peralatan dan barangan keperluan seperti katil, tilam, almari, kerusi dan meja belajar.

Selain itu,  beliau juga menghulurkan bantuan bekalan makanan dan wang ringgit untuk meringankan beban perbelanjaan makan minum kepada pelajar-pelajar yang berada di pondok berkenaan.

Bantuan itu adalah  lanjutan daripada siri program ‘Prihatin PBSS Kota Belud’ yang bermula sejak tahun 2020 ketika wabak pandemik Covid-19 melanda negara.

PBSS daerah Kota Belud  kini masih aktif dan sentiasa menghulurkan sumbangan kepada golongan yang terkesan dan terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 .

Musbah sendiri yang turun padang dengan dibantu oleh beberapa orang sukarelawan PBSS akhirnya berjaya melaksanakan program sumbangan itu.

Beliau berharap agar sumbangan itu sekurang-kurangnya dapat memberi kemudahan untuk tidur, almari pakaian dan keselesaan belajar kepada anak-anak yang belajar di pondok tahfiz berkenaan.

KEPERLUAN…Antara yang disumbangkan ialah almari, tilam, katil, kerusi dan meja belajar.

Pengerusi Pondok Tahfiz Amirul Haji Jibar ketika ditemui menyifatkan sumbangan itu amat memberi makna kepada anak-anak yang belajar mengaji di pondok berkenaan.

Pondok Tahfiz yang baharu ditubuhkan ini sedang dalam peringkat permulaan dan sedang berusaha untuk menguruskan pendaftaran pondok tahfiz .

Justeru beliau amat berterima kasih dengan sumbangan yang diberikan oleh PBSS daerah Kota Belud.

Untuk rekod PBSS adalah sebuah NGO yang dipimpin oleh Presidennya Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor yang juga Ketua Menteri Sabah.

Sebagai presiden,  Hajiji sentiasa menyokong program dan usaha-usaha yang dilakukan oleh PBSS di semua daerah untuk menghulurkan sumbangan  kepada masyarakat atau pun golongan yang memerlukan bantuan.

scroll to top